Bandar Seri Begawan (08 November 2010) - Pertandingan mencipta robotech telah berjaya meraih populariti para peminat pencipta robot di kalangan penuntut-penuntut sekolah rendah, menengah mahupun di peringkat universiti di Negara Brunei Darussalam.
Para pemenang-pemenang menerima hadiah pertandingan tersebut di Dewan Plenary Hall, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), di sini.
Pemangku Ketua Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP Centre), Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam, Awang Haji Metali bin Haji Mirasan, menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang.
Hampir 60 buah pasukan dari pelbagai peringkat sekolah menengah dan maktab, termasuklah peringkat vokasional dan teknikal serta dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) turut menyertai pertandingan tersebut, yang telah berlangsung selama empat hari di ICC.
Kategori Micromouse F1A dijuarai oleh pasukan 'Payau Belusir' dari Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab. Sementara pasukan 'Tornedo' dari Sekolah Vokasional Nakhoda Ragam (SVNR) menjuarai Kategori Micromouse F1B.
SVNR juga turut memenangi tempat kedua dan ketiga dalam Kategori F1B dari pasukan 'Maverick' dan 'Twin-Cam'.
Manakala, juara kategori Micromouse F2A telah disandang oleh pasukan 'Fifth Gear' dari Maktab Sultan Omar Ali Saifuddin (SOAS) dan pasukan 'ITB-B' dari Institut Teknologi Brunei (ITB) telah merangkul gelaran juara kategori Micromouse F2B.
Pasukan 'Lift-bot' dari Sekolah Menengah Berakas telah berjaya mendapat tempat pertama bagi Kategori Action-BOT A manakala pasukan 'Soapobot', 'Bounce' dan 'Thunder Arrow' dari UBD telah masing-masing menjuarai, naib johan dan ketiga, dalam Kategori Action-BOT B.
Terakhir pasukan 'Soapobot' dari UBD telah berjaya merangkul gelaran juara dalam Kategori Gladiator 10kg (Terbuka). Naib johan dan ketiga masing-masing dirangkul oleh pasukan 'Opt-Prime' dan 'Kilobot' dari SVNR.
Di antara objektif dan matlamat pertandingan ini diadakan untuk menarik minat, kefahaman dan apresiasi para pelajar atau peserta mengenai robot dan untuk meningkatkan daya kreativiti dan inovasi mereka dalam pembuatan robot serta dapat memperluaskan lagi ilmu pengetahuan dan meningkatkan lagi kebolehan yang ada dalam diri para peserta.
-- hak milik Pelita Brunei
(Oleh : Khartini Hamir)
Tuesday, 16 November 2010
Pasukan 'Payau Belusir' Dan Pasukan 'Tornedo' Menangi Peraduan Mencipta Robotech
Posted by Neo Minda on 14:22
0 comments:
Post a Comment