Friday, 12 November 2010

Penerapan Teori Sastera Dalam Pendidikan

Twitter Facebook More

Oleh : Khartini Hamir

Bandar Seri Begawan (04 November 2010) - Para peserta Seminar Sastera dan Pendidikan bagi Kursus AS2401 (Sastera dan Pendidikan) bertemakan 'Sastera Bukan Sekadar Tulisan Atau Khayalan' didedahkan kepada asas pengenalan kesusasteraan dan teori-teori sastera.


Selain dari itu, mereka juga didedahkan dengan penerapan teori-teori sastera dalam pendidikan bertujuan untuk melihat keberkesanannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran secara formal ataupun tidak formal semasa mengikuti seminar tersebut petang tadi di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Melalui seminar itu para peserta juga akan dapat melihat hubungan sastera dan pendidikan dari segi perspektif yang lebih luas dimana nilai kesusasteraan itu boleh digarap serta dihayati untuk diaplikasikan dalam dunia pendidikan dan kehidupan seharian.

Hadir selaku tetamu kehormat pada seminar tersebut ialah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar UBD, Dr. Haji Ramlee bin Haji Tinkong.

Seminar anjuran mahasiswa/mahasiswi Kursus AS2401 Sastera dan Pendidikan dengan kerjasama Kelab RAKIS UBD itu dibimbing oleh dua pensyarah UBD.

Manakala ahli-ahli panel seminar berkenaan terdiri dari Pegawai Bahasa Kanan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Awang Haji Markandi bin Haji Kurus, Pensyarah Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Dayang Faridah binti Abd. Hamid dan mahasiswi tahun dua UBD, Dayang Siti Khadijah binti Haji Metali.

Seminar dihadiri oleh mahasiswa dan mahasiswi Kursus AS2401 Sastera dan Pendidikan UBD, beberapa orang guru dan penuntut dari beberapa buah maktab, sekolah tinggi dan sekolah menengah kerajaan di Daerah Brunei Muara.

-- hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment