Friday, 12 November 2010

Penyertaan Bagi Anugerah PKS Kebangsaan 2010 Dibukakan

Twitter Facebook More

Bandar Seri Begawan (03 Nov 2010) - Bagi memajukan lagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negara ini di samping mengetengahkan kecemerlangan perniagaan para pengusaha, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama (KPSSU) dan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) menganjurkan Anugerah PKS Kebangsaan 2010 Sempena Sesi Dialog Mengenai Inisiatif-inisiatif Pembangunan PKS, KPSSU.


Anugerah PKS Kebangsaan Tahunan yang pertama seumpamanya dilancarkan pada 7 Ogos 2010 itu merupakan salah satu inisiatif yang diungkayahkan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Penganugerahan bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian PKS dan pengusaha tempatan yang telah memberikan sumbangan kepada pembangunan ekonomi Brunei selain menyediakan peluang-peluang pekerjaan.

Ia juga bertujuan menggalakkan semangat keusahawanan di kalangan PKS tempatan untuk menjadi lebih proaktif terhadap pembangunan selain memperkukuhkan perniagaan mereka.

Anugerah ini juga bertujuan mewujudkan satu mercu tanda dan sukat-sukat kepada syarikat-syarikat tempatan di peringkat kebangsaan selain membuat perbandingan dengan rakan-rakan industri yang lain.

Selain itu ia juga bertujuan untuk menonjolkan peranan penting PKS serta sumbangan mereka dalam mempelbagaikan ekonomi Brunei.

Bagi memberikan lebih banyak peluang kepada PKS untuk menyertainya, jawatankuasa penganjur telah memanjangkan tempoh penyerahan penyertaan kepada 30 November 2010.

Anugerah yang dibahagikan kepada empat kategori ini terbuka kepada semua warganegara Brunei Darussalam.

Kategori 1: Anugerah PKS Untuk Perusahaan Paling Menonjol - (Jualan tahunan: 10 Juta); Kategori 2: Anugerah PKS Untuk Perusahaan Sederhana Paling Menonjol - (Jualan tahunan: 5 Juta - 10 Juta); Kategori 3: Anugerah PKS Untuk Perusahaan Kecil Paling Menonjol - (Jualan tahunan: 5 Juta) dan Kategori 4: Anugerah PKS Untuk Perusahaan Menyokong Minyak dan Gas Paling Menonjol.

Semua kategori ini akan dinilai berdasarkan kepada kriteria kelayakan asas, antaranya:

Ia terbuka kepada perusahaan yang beroperasi di Negara Brunei Darussalam dan dimiliki atau dikendalikan oleh rakyat atau penduduk tetap Negara Brunei Darussalam atau warga asing;

PKS yang terlibat di semua sektor; Didaftarkan di bawah Undang-undang Pendaftaran Syarikat; Hendaklah mempunyai kedudukan kawangan yang baik dan perlu menyertakan Laporan Kewangan mereka bagi tiga (3) tahun terakhir berturut-turut.

Selain itu, syarikat tersebut hendaklah mempunyai rekod perniagaan yang bersih; Mempunyai rancangan perniagaan dan mempunyai perancangan pembangunan perniagaan masa depan; Perniagaan harus dikategorikan sebagai PKS (mempunyai 6 hingga 100 pekerja); Menyumbang kepada pendapatan kasar Negara Brunei Darussalam, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan menyumbang terhadap perkembangan masyarakat adalah satu kelebihan.

Penyertaan boleh dihantar ke Sekretariat Anugerah PKS Kebangsaan dan bagi keterangan lanjut, sila hubungi di talian: 2333964/2334192, atau kunjungi laman web www.bruneismeonline.com.

Di samping itu, sesi taklimat akan diadakan pada 15 November 2010, jam 9.00 pagi bertempat di Dewan Setia Pahlawan, KPPSU.

Sempena dialog 'Berkongsi Maklumat PKS dan Inisiatif KPSSU Yang Berkaitan' itu semua PKS yang mempunyai 6-100 pekerja dijemput untuk menghadiri taklimat bagi mendapatkan pemahaman yang lebih baik tentang isu-isu berkaitan.

-- hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment