Oleh : Nooratini Hj. Abas & Saerah Hj. Abd. Ghani
Jerudong (03 Nov 2010) - Beberapa topik merangkumi impak perubahan iklim ke atas sekuriti makanan; isu keselamatan makanan; tata amalan baik dalam sektor pertanian dan perikanan; skim kemudahan kewangan dan kepentingan koperasi dalam sektor pertanian dan perikanan dibentangkan dalam Persidangan Sempena Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan (HPPPN) 2010.
Penceramah udangan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Khalid Abdul Rahim yang membentangkan kertas kerja bertajuk 'Impak Perubahan Iklim Ke Atas Sekuriti Makanan' antara lain menyentuh masalah pemanasan global, gas rumah hijau serta kesan pada pertanian yang menurut kajian dilakukan pada tahun 2003 secara keseluruhan pengurangan dari sepuluh peratus terhadap data cuaca bagi tahun 2055 di Afrika dan Latin Amerika.
Sementara itu dalam kertas kerja bertajuk 'Skim Amalan Ladang Baik Malaysia' (SALM) yang disampaikan oleh Pengarah Bahagian Kawalan Kualiti Tanaman Jabatan Pertanian Malaysia, Norma Othman antara lain menjelaskan bahawa produk pertanian dari ladang berkualiti dan memenuhi tahap keperluan piawaian keselamatan makanan perlu dipastikan, selain menggalak dan meyakinkan pengguna ke atas produk-produk pertanian keluaran ladang negara.
Pegawai Perikanan Kanan, Jabatan Perikanan, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama (KPSSU), Dayang Hajah Laila binti Haji Abd. Hamid dalam kertas kerjanya bertajuk 'Keselamatan Makanan-Makanan Laut' pula antara lain menyentuh mengenai sektor perikanan yang meliputi sektor tangkapan, sektor akuakultur, sektor pemprosesan dan import serta punca pencemaran bahan kimia, kuman, toksin semula jadi, benda asing dan organisma.
Manakala Pegawai Haiwan, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, KPSSU, Dr. Hajah Kesumawati binti Haji Md. Jaafar berkata melindungi kesihatan awam itu adalah memastikan kesemua aspek produksi makanan dan pengendalian makanan dalam keadaan yang bersih dan selamat, dari ladang-ladang pembekal ke pusat-pusat pengeluaran atau pasar-pasar.
Seorang lagi pembentang, Pegawai Pertanian Kanan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, KPSSU, Awang Jomari bin Haji Ahmad dalam kertas kerjanya bertajuk 'Program Skim Akreditasi Ladang Hortikultur' (HFAS) pula menjelaskan bahawa ia adalah skim persijilan ladang-ladang yang telah diperiksa dan diaudit.
Di bawah kertas kerja bertajuk 'Skim Kemudahan Kewangan' yang disampaikan oleh Awang Asut bin Kadai dari Pusat Pembangunan Keusahawanan, KPSSU menggariskan beberapa kriteria kelayakan khusus di bawah Skim Kewangan Mikro-Kredit yang antaranya meliputi aktiviti-aktiviti perniagaan kecil-kecilan seperti taman asuhan, pasar borong dan runcit, restoran dan sebagainya.
Ketua Unit Keusahawanan dan Perundingan Koperasi, Badan Kemajuan Industri Brunei (BINA), KPSSU, Awang Zainal bin Haji Abu Bakar ketika membentangkan kertas kerja mengenai koperasi menyatakan bahawa misinya adalah untuk mewujudkan dan mempertingkat pembangunan industri dan koperasi supaya berdaya tahan, kompetitif dan berupaya untuk eksport ke pasaran global.
Selain itu, beliau juga menyentuh mengenai definisi koperasi, prinsip-prinsip koperasi, nilai-nilai koperasi, sistem koperasi, faedah-faedah koperasi serta perbezaan koperasi dengan swasta dan tanggungjawab ahli-ahli koperasi.
Persidangan yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa BRIDEX dan dihadiri oleh kira-kira 1000 peserta terdiri dari pengusaha sektor pertanian dan perikanan itu bertujuan untuk mengongsikan pengalaman-pengalaman mereka dalam berkecimpung dan mengorak langkah bagi mencapai kejayaan di bidang masing-masing.
Objektif utama HPPPN ini ialah untuk memberikan pengiktirafan dan penanugerahan ke atas usaha-usaha peladang, petani, penternak dan nelayan di negara ini serta mengetengahkan pengusaha-pegusaha pertanian dan perikanan yang berjaya.
Selain itu ia juga untuk memberikan galakan dan insentif kepada pengusaha-pengusaha pertanian dan perikanan untuk lebih berkembang maju, kreatif dan inovatif serta meningkatkan hubungan dan silaturahim di antara pihak kerajaan, pengusaha dan pengguna.
-- hak milik Pelita Brunei
Friday, 12 November 2010
Persidangan Sempena HPPPN 2010 Bentangkan Berbagai Topik
Posted by Neo Minda on 13:42
0 comments:
Post a Comment