Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Bandar Seri Begawan (03 Nov 2010) - Hubungan kerjasama di antara Negara Brunei Darussalam, Malaysia dan Indonesia dalam bidang penyiaran terus dipertingkatkan dan dikukuhkan melalui pertukaran program-program radio ketiga-tiga buah negara tersebut.
Ini termasuk Program Kerjasama Budaya Tiga Serumpun melibatkan tiga stesen iaitu Radio Televisyen Brunei (RTB), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Radio Republik Indonesia (RRI) yang dikembangkan lagi melalui rakaman rancangan berpantun, drama, mesyuarat dan sebagainya.
Pada tahun ini, RTB menjadi tuan rumah bagi program tahunan yang dirakamkan secara bergilir-gilir di antara tiga stesen berkenaan sebagai usaha untuk memperluaskan aktiviti penerbitan rancangan (berpantun dan hiburan), penerbitan drama bersama, persembahan pentas dan pertukaran pegawai.
Rancangan berpantun merupakan salah satu acara sepanjang program empat hari itu yang dirakamkan pagi tadi di Studio A, RTB bertemakan 'Hari Raya Aidiladha' yang akan ditayangkan pada sambutan raya itu nanti.
Pada program berpantun itu RTB diwakili oleh Haji Daud bin Haji Metarsad, Hajah Siti Maria binti Haji Abd. Rahman dan Hajah Fauziah binti Haji Md. Yusof manakala Sharani Sharman, Adibah Affandi dan Norliza Yeo Abdullah mewakili RTM dan Gafar Zakaria, Hajah Awanda Erna dan Nina Riyani mewakili RRI.
Program yang diterbitkan di bawah perjanjian kerjasama itu bertujuan mengukuhkan dan meningkatkan lagi persefahaman dan semangat persaudaraan di kalangan rakyat negara-negara serumpun itu.
Di samping itu para pegawai juga dapat bertukar-tukar pengetahuan, pengalaman dan teknologi penerbitan rancangan dan siaran antara badan penyiaran ketiga-tiga buah negara itu.
Dalam usaha untuk mengembangluaskan lagi program itu, RTB bercadang untuk menghidupkan semula Program Berpantun Remaja melibatkan ketiga-tiga buah negara.
RTB juga akan mengemaskinikan lagi program-program seperti Hubungan Muhibbah RTB/RRI dan Kenangan Mengusik Jiwa di antara Rangkaian Harmoni dengan Klasik Nasional (Malaysia).
-- hak milik Pelita Brunei
Friday, 12 November 2010
RTB, RTM Dan RRI Kukuhkan Kerjasama Di Bidang Penyiaran
Posted by Neo Minda on 13:41
0 comments:
Post a Comment