Wednesday, 17 November 2010

Peserta Bengkel Seni Khat Diraikan Di Majlis Ramah Mesra

Twitter Facebook More

Bandar Seri Begawan (11 November 2010) - Bagi menyemarakkan lagi sambutan 25 tahun (Jubli Perak) penubuhan Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Bahagian Kajian dan Penerbitan melalui Unit Penerbitan, Pembahagian dan Pemasaran telah mengadakan Bengkel Penulisan Seni Khat Jawi iaitu Bengkel Tahsinul Khat dan Bengkel Penulisan Seni Khat Jawi Peringkat Lanjutan.


Malam ini para peserta yang menghadiri bengkel tersebut diraikan di Majlis Ramah Mesra yang diadakan di Tarindak D'Seni, di ibu negara.

Hadir selaku tetamu kehormat, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Ismali bin Haji Abdul Manaf.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al Faatihah dan diselajurkan dengan bacaan doa selamat oleh Awang Haji Badaruddin bin Haji Basar.

Acara kemudian diteruskan dengan tunjuk cara penulisan khat oleh pakar-pakar dari luar negeri yang dijemput khas iaitu Farid Abdul Rahim Al-Ali dan Jasim Mi'raj dari Kuwait, dan Abdul Baki bin Abu Bakar dari Malaysia.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Mantan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Dimuliakan Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Ustaz Haji Awang Md. Zain bin Haji Serudin dan Ketua Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan PDI, Datin Paduka Dayang Hajah Zasia binti Sirin.

Bengkel Tahsinul Khat diadakan selama sembilan hari bermula 1 hingga 11 November 2010 di Bilik VIP, PDI sementara Bengkel Peringkat Lanjutan diadakan di Bilik Kuliah, PDI bermula dari 1 hingga 13 November 2010.

Matlamat bengkel ini adalah untuk memelihara kesinambungan tulisan Jawi yang merupakan warisan tamadun Islam di Negara Brunei Darussalam di samping untuk mempromosi serta meluaskan lagi pengetahuan dan kemahiran seni khat Jawi kepada orang ramai di negara ini. -- hak milik Pelita Brunei


(Oleh : Dk. Siti Redzaimi Pg. Hj. Ahmad)

0 comments:

Post a Comment