Wednesday, 3 November 2010

Pesta Limbang 2010 Mampu Gamit Pelancong

Twitter Facebook More

Oleh Mohammad Abdullah

Limbang (02/11/2010) - Pesta Limbang yang diadakan dua tahun sekali dengan salah satu tujuannya bagi menarik pelancong dari dalam dan luar negara membuat kunjungan ke bahagian itu ternyata berjaya menjadikan bahagian itu sebagai salah satu pusat pelancongan di Malaysia.


Pesta yang berlangsung selama dua hari tersebut adalah sangat menarik dan bernostalgia kerana bukan sahaja acara-acara yang diadakan itu adalah yang kerap kali diadakan di Negara Brunei Darussalam, malah merupakan acara sukan yang digemari ramai.

Lumba perahu, tarik kalat, dan juga lumba bot laju, sememangnya akan menarik ramai penonton.

Pada hari pertama pesta tersebut, perlumbaan perahu membabitkan 30 orang sepasukan telah diadakan. Lokasi bagi acara air dilangsungkan di Sungai Limbang yang berdepan dengan pusat Bandar Limbang, dan Kampung Ayer.

Semasa perlumbaan tersebut berlangsung orang ramai yang menyaksikannya akan muncul ke hadapan ke tebing sungai bagi menyokong pasukan pilihan mereka sambil menjerit memberikan semangat pada pasukan mereka.

Riuh rendah orang ramai boleh didengar dari udara, kata Junaidi, salah seorang paraglider dari Negara Brunei Darussalam yang telah dijemput bagi membuat pertunjukan paraglider di perairan Sungai Limbang semasa perlawanan dijalankan bagi meriahkan lagi pesta tersebut.

Malah beliau juga mengatakan bahawa semasa pesta tersebut dijalankan selama dua hari, kereta yang beratur menuju ke Pusat Bandar Limbang yang nampak dari udara sangat panjang dan bergerak dengan perlahan.

Pada hari kedua pula perlawanan bot laju dan tarik kalat telah diadakan serentak di dua destinasi, tetapi orang ramai nampaknya lebih tertarik untuk menonton aksi perlawanan bot laju.

Ada beberapa kategori telah dijalankan iaitu pertandingan bot kecil iaitu "tambang" dan pertandingan bot laju berkuasa besar. Majoriti penyertaan acara bot laju berkuasa besar yang menggunakan bot kaca gentian adalah terdiri peserta dari Brunei Darussalam.

Mereka sejak awal lagi telah menarik bot masing-masing ke Bandar Limbang untuk menyertai acara tersebut, malah ada yang bermalam di Limbang bagi membuat persediaan perlumbaan tersebut. Penyertaan juga mewakili setiap daerah Brunei dengan hanya segelintir penyertaan adalah dari Malaysia.

Pesta Limbang ternyata berjaya menarik kunjungan beribu-ribu pelancong dari dalam dan luar negara ke Bandar Limbang sementara penganjur mengatakan bahawa pada tahun depan pesta tersebut akan beralih ke Bandar Lawas, dan akan kembali semula ke Bandar Limbang pada tahun hadapannya.

-- Hak milik Media Permata

0 comments:

Post a Comment