Thursday, 18 November 2010

Proaktif Dalam Mengimbangi Pembangunan Negara

Twitter Facebook More

Bandar Seri Begawan (12 November 2010) - Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) sebagai sebuah jabatan yang mengutamakan perkhidmatan kepada orang ramai perlu proaktif dalam mengimbangi kehendak pembangunan negara.


Perkara ini menuntut para pegawai dan kakitangan jabatan itu untuk melaksanakan tugas mereka dengan jujur, amanah dan ikhlas serta bertanggungjawab selaras dengan misi jabatan 'Ke Arah Perkhidmatan Yang Kredibel dan Dinamik'.

Pemangku Pengarah Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Awang Haji Md. Yunos bin Bolhassan menekankan perkara tersebut semasa berucap di Majlis Pelancaran Program Taklimat dan Bengkel Biro Mencegah Rasuah anjuran bersama JIPK dan Biro Mencegah Rasuah (BMR) berlangsung di Dewan Serbaguna JIPK, di sini.

Menyentuh mengenai rasuah, beliau juga memetik titah perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Menyambut Tahun Baru Masihi 2008 yang antara lain menekankan, "Jangan Anggap 'Rasuah Kecil' tidak mengapa tetapi ingatlah akan risikonya. Kecil atau besar, sedikit atau banyak, adalah sama-sama bernama penyakit, yang boleh menjejaskan negara. Negara yang karam dengan rasuah adalah negara yang malang".

Petikan titah baginda itu tegas Awang Haji Md. Yunos, sepatutnya dijadikan panduan oleh semua warga jabatan itu dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

"Kita hendaklah bekerjasama dengan agensi-agensi lain dalam memastikan negara kitani bebas daripada masyarakat yang melanggar undang-undang dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan di negara ini".

"Dengan kata lain kita selaku warga penguatkuasa undang-undang hendaklah memartabatkan apa jua undang-undang yang berkuatkuasa di negara ini dan memeliharanya supaya tidak dipermainkan dan disalahgunakan dengan sewenang-wenangnya," ujarnya.

Semasa berucap Awang Haji Md. Yunos juga memetik titah Kebawah DYMM sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidifitri pada 7 Syawal 1431 Hijriah bersamaan dengan 16 September 2010 Masihi anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, antara lain mengingatkan "Peraturan dan Undang-undang adalah 'Jiwa' kepada Masyarakat. Tanpa Peraturan dan Undang-undang masyarakat akan lemah dan tidak dihormati. Oleh itu, jentera penguatkuasaan mestilah kuat, tidak boleh lemah kerana jika ia lemah, Negara dan masyarakat akan terjejas teruk".

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al Faatihah dipimpin oleh Pemangku Penolong Pengarah (Bahagian Pendaftaran Kebangsaan), Awang Haji Saiful Azmi bin Haji Sulaiman.

Pada majlis itu Pemangku Pengarah Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan juga menyempurnakan penyampaian cenderahati kepada Timbalan Pengarah BMR, Awang Haji Abd. Rauf bin Haji Mohd. Yassin.

Sementara itu pihak penganjur juga mengadakan Pameran Taklimat dan Bengkel BMR di ruang legar jabatan berkenaan.

Turut hadir di majlis tersebut Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Puan Hajah Ainun binti Abdullah, Pemangku Timbalan Pengarah Pendaftaran Kebangsaan, Dayang Liza Suriani binti Haji Ibrahim, Pemangku Timbalan Pengarah Imigresen, pegawai-pegawai kanan KHEDN, pegawai dan kakitangan JIPK dan BMR.

Program ini antara lain memfokuskan kepada bidang tugas BMR dan kesalahan-kesalahan yang boleh diambil tindakan oleh pihak BMR kepada pegawai dan kakitangan kerajaan.

Dalam masa yang sama, program ini juga dihasratkan dapat menambah pengetahuan dan maklumat baru bagi mengimbangi bidang tugas dengan perkara-perkara yang boleh menyalahi akta dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh BMR.

Taklimat dan Bengkel ini diungkayahkan berperingkat-peringkat bagi semua pegawai dan kakitangan JIPK bermula 11 hingga 24 November 2010 ini. -- hak milik Pelita Brunei


(Oleh : Nooratini Haji Abas)

0 comments:

Post a Comment