Bandar Seri Begawan (12 November 2010) - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ditubuhkan pada tahun 1961 setelah Bahasa Melayu diangkat sebagai Bahasa Rasmi Negara dan diperuntukkan dalam perlembagaan negara pada tahun 1959.
Penubuhan DBP juga bertujuan untuk menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu di kalangan masyarakat di Negara Brunei Darussalam.
Pemangku Pengarah DBP Brunei, Dayang Hajah Aminah binti Haji Momin menyatakan demikian semasa memberikan taklimat kepada serombongan 26 pelajar Menengah Tiga dan tiga guru dari Sekolah Menengah Greenview, Singapura yang membuat lawatan sambil belajar petang tadi ke DBP, di sini.
Menurut Dayang Hajah Aminah, DBP juga ditubuhkan untuk menyebarluaskan bahasa Melayu dengan lebih menyeluruh melalui kegiatan penerbitan seperti kegiatan yang berbentuk kebahasaan, kesasteraan, bidang penerbitan dan perpustakaan.
Dayang Hajah Aminah juga menyatakan, setiap 1 Ogos merupakan Hari Belia di Negara Brunei Darussalam di mana pada masa ini negara lebih memfokuskan mengenai belia dalam apa jua kegiatan yang menunjang atau mendukung kepada perkembangan, pembinaan dan kemajuan Negara Brunei Darussalam, kerana kerajaan lebih mengutamakan golongan belia sebagai aset pembangunan negara pada masa akan datang.
Selain itu, beliau juga menyentuh mengenai aspek penggunaan tulisan Jawi di negara ini yang merupakan salah satu warisan tradisi dan aset budaya yang penting.
Katanya pada masa dahulu, perkembangan bahasa Melayu di Brunei dan seluruh rantau ini bermula dari tulisan jawi, di mana ketika itu cara urusniaga di antara peniaga-peniaga Cina dan Melayu adalah menggunakan tulisan Jawi dan bahasa Melayu.
Beliau menjelaskan, peranan DBP menangani aspek memartabatkan dan memantapkan penggunaan bahasa Melayu di negara ini dilakukan melalui pelbagai kegiatan dan aktiviti seperti peraduan, seminar, kongres dan seumpamanya melibatkan pelbagai peringkat usia.
DBP tambahnya, sehingga kini dijadikan sebagai sumber rujukan oleh kementerian-kementerian dan institusi-institusi lain di negara ini dalam aspek penggunaan bahasa Melayu di Negara Brunei Darussalam.
Sementara itu menurut Ketua rombongan, Dayang Sharifah Kamelia, mereka melawat DBP kerana ingin mengetahui dan mempelajari mengenai budaya serta penggunaan bahasa Melayu di Negara Brunei Darussalam untuk diterapkan kepada para penuntut yang terpilih mengikuti rombongan tersebut.
Selain dari itu katanya, DBP juga merupakan satu-satunya institusi bahasa yang menjalankan dan mengiatkan sebarang aktiviti atau agenda mengenai bahasa Melayu serta terus memantapkan penggunaannya di kalangan warga dan penduduk Negara Brunei Darussalam. -- hak milik Pelita Brunei
(Oleh : Khartini Hamir)
Thursday, 18 November 2010
DBP Berperanan Menyebarluaskan Penggunaan Bahasa Melayu
Posted by Neo Minda on 11:49
0 comments:
Post a Comment