Friday, 12 November 2010

Sektor Pertanian, Perikanan Juga Penyumbang Yang Signifikan Kepada Pekerjaan

Twitter Facebook More

Oleh : Bolhassan Hj. Abu Bakar

Jerudong (03 Nov 2010) - Sektor pertanian dan perikanan adalah juga penyumbang yang signifikan kepada pekerjaan dan penyara hidup rakyat dan penduduk negara ini, di mana dalam menangani keselamatan makanan telah menjadi tanggungjawab bersama di antara pihak kerajaan dengan para peladang, petani, penternak dan nelayan.


Menurut catatan pada tahun 2009, terdapat 5,086 peladang dan 3,865 nelayan di Negara Brunei Darussalam yang mana 2.4 peratus daripadanya adalah di kalangan rakyat dan penduduk negara ini.

Justeru itu sebagai penghormatan kepada para peladang, petani, penternak dan nelayan selaku 'Penjana Makanan Negara', Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama buat julung-julung kalinya tahun ini mengadakan sambutan Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan di atas sumbangan mereka kepada pemakanan negara yang mana adalah sangat strategik kepada kehidupan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini.

Sambutan Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan 2010 dirasmikan oleh Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Awang Haji Yahya di Pusat Persidangan Antarabangsa BRIDEX.

Matlamat mengadakan sambutan Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan adalah sebagai penghormatan kepada para peladang, petani, penternak dan nelayan di negara ini di atas sumbangan mereka kepada penghasilan makanan negara.

Dengan tema 'Makanan Terjana, Negara Selamat' ia memberikan gambaran akan betapa pentingnya peranan para peladang, petani, penternak dan nelayan kepada penjanaan makanan demi kehidupan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini.

Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan telah diisytiharkan pada setiap 1 November oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan berangkat merasmikan Ekspo Pertanian dan Agrimakanan 2009 pada 19 November 2009.

Objektif utama Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan ini ialah untuk memberikan pengiktirafan dan penganugerahan ke atas usaha-usaha peladang, petani, penternak dan nelayan di negara ini serta mengetengahkan pengusaha-pegusaha pertanian dan perikanan yang berjaya.

Selain itu ia juga untuk memberikan galakan dan insentif kepada pengusaha-pengusaha pertanian dan perikanan untuk lebih berkembang maju, kreatif dan inovatif serta meningkatkan hubungan dan silaturahim di antara pihak kerajaan, pengusaha dan pengguna.

-- hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment