Oleh : Bolhassan Hj. Abu Bakar
Jerudong (03 Nov 2010) - Bagi menjamin sekuriti makanan negara, pihak kerajaan telah menyusun strategi dan langkah untuk meningkatkan pengeluaran bahan makanan dengan menekankan aspek pengeluaran yang mencukupi dan selamat, kemudahan untuk memperolehi, penggunaan sumber yang optima dan kestabilan harga di pasaran.
Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Awang Haji Yahya berkata, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah membelanjakan peruntukan yang besar bagi memajukan industri pertanian dan perikanan.
Menegaskan perkara itu dalam ucaptama sempena Pelancaran Sambutan dan Persidangan Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan 2010 hari ini, Yang Berhormat berharap agar segala bantuan dan juga insentif yang diberikan kepada para peladang, petani, penternak dan nelayan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya agar usaha mereka menampakkan hasil yang dihasratkan dan berbaloi dengan meningkatkan pengeluaran makanan yang amat ketara serta member sumbangan kepada ekonomi negara.
"Penggunaan sumber yang optima seperti mengusahakan kesemua sudut kawasan pertanian dan perikanan yang diberikan adalah penting agar pemberian tapak yang dikenakan sewa yang amat rendah oleh kerajaan itu dapat digunakan sepenuhnya dan tidak membazir," saran Yang Berhormat di majlis yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa BRIDEX.
Yang Berhormat seterusnya berkata, dalam aspek penangkapan ikan, kaedah dan tatacara penangkapan yang lebih efisien serta efektif perlu diseimbangi dengan pengurusan sumber dan alam persekitaran yang lebih mantap untuk memastikan sumber perikanan yang berterusan.
Menyentuh mengenai tema sambutan kali ini, 'Makanan Terjana, Negara Selamat', Yang Berhormat berkata bahawa ia sangat sesuai bagi menghargai jasa sumbangan bakti para peladang, petani, penternak dan nelayan selaku 'Penjana Makanan Negara' yang merupakan satu usaha murni yang digalakkan dalam membentuk kehidupan bermasyarakat mandiri yang berupaya memberi sumbangan kepada jaminan bekalan keperluan penduduk sendiri secara mapan dengan mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar.
Terdahulu sebelum itu dalam ucaptamanya Yang Berhormat telah mengongsikan beberapa fakta mengenai pengeluaran dan kejadian kekurangan makanan dunia pada masa kini, di mana Pertubuhan Makanan Sedunia (FAO) melaporkan pada tahun 2009 seramai satu bilion penduduk dunia menghadapi gejala kekurangan makanan.
Menurut jangkaan FAO, keramaian penduduk dijangka mencecah 9.1 bilion orang pada tahun 2050 di mana pengeluaran makanan hendaklah ditingkatkan 70 peratus untuk mencukupi keperluan makanan penduduk dunia.
Sebaliknya, tegas Yang Berhormat, pengeluaran pertanian dijangkakan semakin menurun berbanding tahun ini dan tahun-tahun sebelumnya yang disebabkan oleh persaingan penggunaan kawasan dengan pembangunan industri-industri lain yang lebih menguntungkan dan perubahan iklim yang member kesan negatif kepada persekitaran.
Antara kesan negatif tersebut ialah seperti cuaca panas yang ekstrem, hujan dan kemarau berpanjangan, kekurangan sumber air bersih, hakisan tanah kawasan tinggi dan banjir yang menyebabkan kekurangan kawasan tanah subur.
"Sebagaimana yang telah dimaklumi, sebahagian daripada makanan penduduk negara ini dapat dihasilkan di dalam negeri dalam peratusan tertentu dan ada yang telah mencapai 100 peratus tahap sara diri seperti pengeluaran ayam pedaging dan telur ayam," ujar Yang Berhormat.
Yang Berhormat menambah, jaminan sekuriti makanan negara ini adalah mustahak terutama sekali dalam menangani masa-masa kritikal seperti krisis kekurangan makanan yang disebabkan oleh pergolakan politik, bencana alam, perubahan iklim, jangkitan wabak penyakit dan lain-lain.
-- hak milik Pelita Brunei
Friday, 12 November 2010
Kerajaan susun strategi tingkatkan pengeluaran bahan makanan
Posted by Neo Minda on 13:48
0 comments:
Post a Comment