Bandar Seri Begawan (10 November 2010) - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Mahrum Sultan Haji Omar' Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan penubuhan satu tabung bantuan yang dikenali sebagai Tabung Kemanusiaan Mangsa Bencana Merapi dan Mentawai yang bertujuan untuk mengumpulkan derma atau sedekah seangkat-angkat hati atas rasa perikemanusiaan daripada semua rakyat dan penduduk di negara ini bagi membantu meringankan beban penderitaan yang ditanggung oleh mangsa-mangsa Gunung Merapi di Pulau Jawa dan Tsunami di Pulau Mentawai, Republik Indonesia.
Dalam hal ini, satu Jawatankuasa Khas yang dikenali sebagai Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Mangsa Bencana Merapi dan Mentawai telah dibentuk dalam satu mesyuarat yang diadakan pada 3 November 2010 bagi mengendalikan segala urusan yang berkaitan dengan usaha mengumpulkan derma daripada rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam.
Jawatankuasa ini dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Ahli-ahlinya terdiri daripada beberapa agensi kerajaan dan bukan kerajaan.
Mesyuarat telah menetapkan bahawa derma akan dikumpulkan bagi tempoh dua bulan iaitu mulai dari 3 November 2010 hingga 3 Januari 2011.
Tempoh tersebut adalah bagi memberi peluang kepada para penderma untuk menyumbangkan derma berbentuk kewangan secara langsung atau menganjurkan aktiviti-aktiviti amal dan berkebajikan bagi tujuan kutipan derma tersebut.
Seperti biasa kutipan derma ialah dalam bentuk sumbangan kewangan sahaja daripada badan-badan, syarikat-syarikat perniagaan, persatuan-persatuan dan orang-orang perseorangan.
Kepada mereka yang berhasrat untuk memberikan sumbangan bolehlah menderma melalui tabung-tabung yang disediakan di bangunan bank-bank, gedung-gedung perniagaan dan bangunan-bangunan awam di seluruh negara atau pun menghantarkannya terus kepada Urusetia Tabung Kemanusiaan Mangsa Bencana Merapi dan Mentawai di Bahagian Kewangan, Tingkat 2, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Jalan Kebangsaan, Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam pada waktu pejabat. -- hak milik Pelita Brunei
Wednesday, 17 November 2010
Tabung Kemanusiaan Mangsa Bencana Merapi Dan Mentawai Ditubuhkan
Posted by Neo Minda on 20:50
0 comments:
Post a Comment