Wednesday, 17 November 2010

Deklarasi Tehran: Ke Arah Meningkatkan Kerjasama Di Benua Asia

Twitter Facebook More

Tehran, Republik Islam Iran (10 November 2010) - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Haji Mohamed Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan pagi ini berkenan berangkat menghadiri hari kedua Mesyuarat Dialog Kerjasama Asia Ke-9 (9th ACD).


Pada mesyuarat yang berlangsung di Dewan Ghadir, OIC Summit Conference Centre itu para delegasi terdiri dari 31 orang menteri luar dan ketua perwakilan telah meluluskan Deklarasi Tehran ke arah meningkatkan kerjasama di benua Asia.

Dekelarasi Tehran itu telah mengesahkan 16 perkara utama yang antara lain menyarankan supaya benua Asia terus meningkatkan kerjasama di dalam banyak bidang terutama di kalangan ahli-ahli ACD.

Menurut deklarasi Tehran itu, Dialog Kerjasama Asia (ACD) boleh berkembang ke arah prospek yang cerah dengan memperhatikan hala tuju jangka masa panjang dan meningkatkan kerjasama antara ahli selain memberikan asas kepada keselamatan, kestabilan, kemakmuran, dan pembangunan di kawasan ACD.

Bidang yang dicapai bersama termasuk usaha mempromosikan dan meningkatkan ekonomi memandangkan benua Asia yang sangat luas dari timur hingga ke barat di mana jika bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan dan usaha sama terus digiatkan nescaya langkah mengatasi kemiskinan mungkin akan terlaksana.

Deklarasi Tehran juga menyebutkan bahawa para menteri telah mensahkan komitmen masing-masing bagi melaksanakan hasrat dan objektif-objektif ACD seperti yang telah diputuskan melalui deklarasi-deklarasi sebelumnya.

Melalui dekelarasi itu juga, para menteri telah berikrar akan terus membangun benua Asia melalui kerangka kerjasama yang lebih efektif termasuk dalam bidang sosial, tenaga dan keselamatan makanan dan lain-lain berdasarkan kepelbagaian.

Selain itu Dekelarasi Tehran juga menyatakan bahawa ACD, forum yang ditubuhkan pada tahun 2002 itu bertujuan untuk meningkatkan kerjasama antara negara-negara Asia dan membantu mengintegrasikan organisasi-organisasi kerjasama serantau yang lain.

Para menteri juga yakin bahawa keutamaan perlu diberikan kepada bidang-bidang seperti membangun kepercayaan dan prediktabiliti dalam sistem kewangan, penguatkuasaan peraturan kewangan, meningkatkan kerjasama antara bank pusat, pembangunan sektor kewangan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi, menggalakkan perdagangan dan pelaburan, mempromosikan pelaburan terus luar negeri , revitalisasi industri dan pertanian serta memfokuskan pada kecekapan dan tenaga yang boleh diperbaharui.

Di samping itu, dekelarasi itu juga menyebutkan bahawa para menteri telah mengesahkan komitmen mereka untuk terus menggalakkan dialog dan mempromosikan pemahaman terhadap persekitaran yang kondusif bagi mencapai taraf hidup yang lebih tinggi di kalangan penduduk selain mencapai konsensus global dalam mengurangkan penderitaan sosioekonomi masyarakat serta memperkasa negara-negara membangun dalam semua bidang kehidupan.

Para menteri juga percaya bahawa selain untuk memulihkan kepercayaan terhadap sistem kewangan dan berkurangnya permintaan global, ACD juga harus terus berusaha untuk memperbaiki iklim pelaburan sektor swasta yang diharapkan dapat membantu meningkatkan pertumbuhan dan prospek pemulihan di masa hadapan.

Delegasi ke mesyuarat itu juga bersetuju bahawa ACD Ke-10 tahun 2011 diadakan di Kuwait yang akan menjadi pengerusi ACD Ke-10 nanti. -- hak milik Pelita Brunei


(Laporan : Abdullah Asgar dari Tehran, Republik Islam Iran)

0 comments:

Post a Comment