Monday, 25 October 2010

Gagal Bayar Gaji Pekerja Sebabkan Kebanyakan Majikan Didakwa

Twitter Facebook More

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi

Bandar Seri Begawan (25 Oktober) - Kebanyakan majikan yang didakwa adalah warga sektor kerajaan antaranya disebabkan kegagalan membayar gaji pekerja.


Kegagalan tersebut selalu berlaku antaranya disebabkan dibuang kerja, muflis (bankrap), banyak hutang, cerai, lalai, menjamin pinjaman, gaji dikumpulkan dibayar pada akhir kontrak dan sebagainya.

Penolong Pesuruhjaya Buruh, Awang Shahriman bin Haji Besar semasa menyampaikan taklimat bertajuk 'Employing Workers, Disputes Complaints Handling & Closing Business'. (Foto : Hernie Suliana Hj. Othman)

Penolong Pesuruhjaya Buruh, Awang Shariful Bahri bin Haji Sawas yang juga selaku Ketua Bahagian Pendakwaan dan Perundangan menjelaskan perkara itu semasa memberikan taklimat Undang-undang Buruh dan Aduan dan Penyelesaian Kes Pertikaian sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam di Bilik Persidangan, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas di sini.

Menurutnya, kes-kes yang sering dihadapi sebilangan majikan selain gagal membayar gaji pekerja ialah penyalahgunaan lesen dan jawatan, pembuangan pekerja melanggar Perintah Pekerjaan 2009, pemotongan gaji pekerja dan pemulangan pekerja.

Terdahulu, Penolong Pesuruhjaya Buruh, Awang Shahriman bin Haji Besar yang juga selaku Ketua Unit Urusetia Lesen Bahagian Tenaga Pekerja Asing menerangkan mengenai visi dan misi Jabatan Buruh serta proses dan permohonan cara-cara pengambilan pekerja asing.

Sementara itu, Pemangku Timbalan Pengarah Imigresen, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Awang Md. Saufi bin Haji Ibrahim pula menyampaikan taklimat mengenai prosedur permohonan pas kerja bagi setiap pekerja yang hendak bekerja di negara ini oleh majikan masing-masing.

Menurutnya, Pas Tanggungan boleh dipohonkan oleh pemegang Pas Kerja yang sah bagi isteri dan anak-anak tetapi hanya kepada mereka yang berkelayakan sahaja seperti para pekerja profesional, pengurusan dan mahir yang memerlukan visa untuk datang ke negara ini kecuali Republik Singapura dan Malaysia.

Awang Md. Saufi juga mengingatkan para majikan supaya bertanggungjawab untuk memulangkan pekerja yang didatangkan ke negara asal mereka jika dikehendaki oleh Jabatan Imigresen.

Di samping itu jelasnya, pekerja yang dipohonkan tidak boleh diagihkan kepada majikan yang lain selain memastikan pekerja menjalani pemeriksaan kesihatan dan sentiasa memastikan pas pekerja sentiasa sah.

Manakala Pemangku Penolong Pengurus Tabung Amanah Pekerja (TAP), Awang Mohd. Reza bin Haji Zainal pula menyatakan bahawa majikan bertanggungjawab untuk mendaftarkan pekerja bagi pembayaran caruman iaitu masing-masing lima peratus bagi setiap majikan dan pekerja.

TAP katanya mengalu-alukan ahli-ahlinya membuat caruman sukarela sama ada melalui pemotongan gaji dan pembayaran secara terus ke kaunter TAP.

Awang Mohd. Reza juga menjelaskan mengenai objektif Skim Caruman Tambahan (SCP) iaitu bagi memastikan para peserta memenuhi syarat yang ditetapkan dengan menerima pendapatan bulanan minimum BND150 sebulan setelah mencapai umur persaraan mandatori genap 60 tahun.

Katanya, dengan bayaran Pencen Tua BND250, pesara akan menerima minimum BND400 sebulan.

Taklimat tersebut dihadiri oleh para majikan dari sektor swasta.

-- hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment