Oleh : Rohani Hj. Abd. Hamid
Jerudong (25 Oktober) - Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 80 peratus kematian pramasa (premature deaths) adalah disebabkan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung dan strok yang boleh dicegah dengan amalan cara hidup sihat.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan ketika berucap demikian semasa melancarkan Program Mukim Sihat Sengkurong di kawasan Dewan Kemasyarakatan Mukim Sengkurong menyatakan, melalui hasil penemuan daripada program pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan ke atas warga Perkhidmatan Awam, daripada 7,609 orang peserta, menunjukkan 63.4 peratus daripada peserta-peserta adalah 'overweight' (mempunyai berat badan berlebihan) atau obesiti (gemuk) dan 55.2 peratus mempunyai paras kolesterol yang berlebihan.
Kedua perkara ini katanya, merupakan faktor-faktor risiko bagi penyakit jantung manakala di kalangan kanak-kanak sekolah pula didapati bahawa kadar 'overweight' ialah 14.1 peratus dan obesiti 12.1 peratus.
Daripada perangkaan ini jelasnya, tahap kesihatan di kalangan kedua kumpulan adalah membimbangkan dan tindakan secara bersepadu perlu diambil untuk menangani isu ini.
Justeru tambah Yang Berhormat, "Program ini berhasrat untuk memberikan pengetahuan, meningkatkan kesedaran masyarakat setempat akan pentingnya menjaga kesihatan dan mencegah penyakit-penyakit kronik iaitu melalui amalan cara hidup sihat dengan mengamalkan permakanan sihat, melakukan kegiatan fizikal secara regular, mengelakan daripada melakukan perkara-perkara yang membawa risiko tinggi kepada kesihatan seperti merokok."
Seterusnya Yang Berhormat menjelaskan program tersebut dihasrat untuk memupuk kerjasama di antara pihak kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan dengan pihak bukan kerajaan, swasta dan orang ramai bagi memperkesankan lagi komitmen dalam menerapkan cara hidup sihat sebagai budaya kehidupan seharian.
Menyentuh mengenai restoran-restoran dan pengurus-pengurus katering, Yang Berhormat mengambil maklum bahawa Bengkel Penyediakan Menu Sihat khusus bagi restoran-restoran di Mukim Sengkurong telah dianjurkan oleh Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan dua bulan yang lalu dan bengkel tersebut antara lain bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran pengurus-pengurus restoran mengenai penyediaan dan pemilihan makanan sihat mengalakan pengurus-pengurus restoran merangka penyediaan menu sihat di restoran masing-masing.
Sehubungan itu Yang Berhormat menyarankan para pengurus restoran membuat pembaharuan dengan menyediakan menu yang sihat dalam sama-sama bertanggungjawab untuk menjaga kesihatan setiap pelanggan yang mengunjungi restoran.
Walkaton sejauh 5 km bagi lelaki dan 3 km bagi peserta wanita didahului dengan senamrobik beramai-ramai di hadapan Dewan Kemasyarakatan Mukim Sengkurong.
Penyampaian hadiah dan sijil kepada peserta Bengkel Penyediaan Menu Sihat bagi restoran-restoran dan acara kemuncak ialah penyampaian Anugerah Warga Emas Contoh bagi Mukim Sengkurong juga disampaikan oleh tetamu kehormat.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Dato Paduka Awang Haji Abd. Salam bin Haji Momin, Timbalan Setiausaha Tetap, Dayang Hajah Siti Mariam binti Haji Mohd. Jaafar, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional dan Teknikal) Dr. Hajah Rahmah binti Haji Md. Said, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan, ketua-ketua kampung, dan penduduk-penduduk Mukim Sengkurong.
-- hak milik Pelita Brunei
0 comments:
Post a Comment