Monday 25 October 2010

Lagi Sangkar Ikan Dirempuh

Twitter Facebook More

Oleh Sim Y. H.

Sangkar Ikan yang rosak teruk dirempuh oleh sebuah kapal pada awak pagi semalam

kerugian ditaksir lebih $100,000

Bandar Seri Begawan, Ahad — Setelah kira-kira dua bulan kejadian sebuah sangkar ikan mengalami kerosakan teruk dirempuh sebuah bot, hari ini seorang lagi pengusaha sangkar ikan di Kampung Buang Tawar juga mengalami nasib yang sama, apabila sebuah kapal pembawa batu merempuh dan memusnahkan lebih 50 peratus sangkar beliau dalam kejadian awal pagi tadi.


Menurut Pengurus Syarikat Pengusaha Sangkar itu, Ding Dong Farm, Tony Leong, beliau diberitahu mengenai kejadian itu oleh pekerja dan rakan beliau yang berada di sangkar berkenaan pada awal pagi ini.

"Mereka memaklumkan bahawa pada kira-kira pukul 1.30 pagi tadi, mereka ternampak kapal yang melalui kawasan berkenaan tiba-tiba membelok menuju ke sangkar saya dan terus merempuh serta memusnahkan sebanyak 59 buah sangkar ikan."

Ketika kejadian itu, jelasnya, dua orang pekerjanya berada di pondok di sangkar berkenaan sementara itu, dua orang rakannya sedang memancing di kawasan sangkar beliau apabila rakannya itu ternampak kapal bergerak menuju ke sangkarnya.

Rakan-rakannya bertindak untuk menjerit dan mengarahkan pekerja-pekerja yang berada di dalam pondok supaya menyelamatkan diri.

"Nasib baik tidak ada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu. Hanya kerugian yang amat besar disebabkan oleh kejadian itu sahaja yang menimpa saya," jelas Tony.

Beliau menambah, akibat kejadian itu hajat serta tempahan dari pelanggan-pelanggan untuk membeli ikan ternakannya bagi upacara perkahwinan tidak lama lagi sudah tidak kesampaian.

Selain kehilangan kira-kira 15,000 ke 20,000 ekor ikan, beliau juga mengalami kerosakan pada lebih 50 peratus sangkar beliau iaitu sebanyak 59 sangkar dari jumlah keseluruhan sangkar sebanyak 93 sangkar.

Di samping itu juga, beliau kehilangan sebanyak 40 jaring yang baru dan yang telah dibersihkan.

"Secara keseluruhannya, saya mengalarni kerugian lebih $100,000 disebabkan oleh kejadian itu," kata Tony.

Beliau menambah bahawa kejadian itu sudah dilaporkan kepada Pasukan Polis Diraja Brunei yang sedang membuat penyiasatan berhubung kejadian berkenaan dan juga kepada Jabatan Perikanan.

Seperti juga kejadian terdahulu, apa yang amat menyedihkan mengenai perkara itu ialah bukan sahaja sangkar itu sudah berada di kawasan berkenaan bertahun-tahun lamanya tetapi terdapat pagan tanda amaran berhati-hati yang dipasang oleh pihak berkuasa tidak jauh dari kawasan sangkar ikan berkenaan.

Oleh itu-lagi diingatkan kepada orang ramai khususnya mereka yang menggunakan perahu melalui kawasankawasan perusahaan sangkar ikan supaya berhati-hati dan mematuhi peringatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa serta untuk melalui kawasan berkenaan dengan perlahan dan bertimbang-rasa kepada pengusaha sangkar ikan di tempat kawasan perusahaan sangkar ikan.

-- hak milik Media Permata

0 comments:

Post a Comment