Oleh Abu Bakar Hj. Abdul Rahman
Bandar Seri Begawan (24 Oktober) - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan mengurniakan Pingat-pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam kepada 844 orang yang terdiri dari pegawai dan kakitangan kerajaan sempena ulang tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-64.
Berangkat mengurniakan pingat-pingat kehormatan negara tersebut bagi pihak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Duli Yang Teramat Mulia berkenan mengurniakan pingat -pingat kehormatan Negara Brunei Darussalam kepada para penerima wanita. (Foto : Masri Osman)
Istiadat pengurniaan pingat tersebut berlangsung di Balai Singgahsana Indera Kenchana Istana Nurul Iman di sini.
Mendahului pengurniaan pingat-pingat itu ialah pengurniaan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) kepada 34 orang penerima dengan yang didahului oleh Awang Haji Ismail bin Haji Abd. Manap.
Sementara Pingat Indah Kerja Baik (P.I.K.B) pula dikurniakan dan diterima oleh sejumlah 433 orang yang terdiri dari pegawai dan kakitangan kerajaan dari berbagai kementerian dan jabatan dengan mendahului senarai penerima ialah Awang Alikhan bin Tengah dari Kementerian Pendidikan.
Istiadat Pengurniaan Pingat-Pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam turut dihadiri oleh Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria dan Pengiran-Pengiran Peranakan. (Foto : Masri Osman)
Kemudian Duli Yang Teramat Mulia juga mengurniakan Pingat Kerja Lama (P.K.L) kepada 377 orang penerima yang juga terdiri dari pegawai dan kakitangan kerajaan dan antara yang mendahului senarai penerima ialah Pengiran Harun bin Pengiran Haji Aliudin.
Bagi memberkati istiadat pengurniaan pingat, doa selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Doa selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned. (Foto : Mohd. Sahrizal Hj. Said)
Berangkat dan hadir di istiadat pengurniaan itu ialah Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria, Pengiran-pengiran Peranakan, Menteri-menteri Kabinet, Timbalan Menteri Kabinet, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-setiausaha Tetap, Diplomat-diplomat Asing dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
-- hak milik Pelita Brunei
0 comments:
Post a Comment