Oleh Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Bandar Seri Begawan (24 Oktober) - Bahasa Melayu mampu memainkan peranan sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan di samping akan dapat berkembang menjadi bahasa moden berkonsepkan negara bangsa yang progresif berasaskan minda bangsa yang merdeka yang kental dengan jati diri bangsanya.
Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dayang Hajah Aminah binti Haji Momin menambah pembinaan sebuah negara bangsa yang berjaya dari segi pencapaian fizikalnya tidak terlepas daripada pembinaan sahsiah dan identiti demi menjadi negara kita sebagai sebuah 'State of Art' dalam konteks pembinaan sebuah peradaban yang memiliki wajah, nafas, emosi, cita-cita dan peribadinya sendiri.
"Mengapa hal ini kita tegaskan? Ini kerana kemajuan dalam perekonomian, politik, pendidikan, budaya dan sosial tidak bergantung kepada bahasa Inggeris semata-mata, bahasa Melayu boleh menjadi asas kemajuan dan ketemadunan bangsa," jelasnya semasa berucap selaku tetamu kehormat di Sesi Dialog Bahasa 'Bahasa Melayu Menjadi Bahasa ASEAN' yang berlangsung di Balai Sarmayuda, di sini.
Jika dilihat negara Jepun, Jerman, Korea dan Taiwan katanya, keempat-empat negara ini mengamalkan bahasa kebangsaan masing-masing dan mereka muncul sebagai negara yang kaya, maju dan didukung oleh satu bangsa yang penuh bercita-cita.
Bertitik tolak daripada pengalaman bangsa Asia yang berjaya itu, Dayang Hajah Aminah berpendapat kita sebenarnya boleh mengambil contoh negara-negara tersebut dalam memajukan bangsa kita sendiri iaitu melalui acuan minda bahasa kita, bahasa Melayu.
"Menyentuh mengenai gagasan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN, ianya bermakna, kita memerlukan pengemblengan tenaga, fikiran dan upaya bagi merealisasikan matlamat itu.
Pengemlengan ini bukan sahaja diwujudkan oleh sebuah komuniti bijak yang terdiri daripada para budayawan, bahasawan dan sasterawan malah juga 'local genius' kita yang dari lapangan bidang strategik dan kritikal seperti ekonomi, kejuruteraan, sains dan teknologi.
Memenangi dan menyakinkan 'local genius' kita daripada kelompok berkenaan bermakna kita meraih sebuah motivasi yang kuat untuk meyakinkan patinggi-patinggi kita yang berwewenang," tambahnya seterusnya.
Bagaimanapun Pemangku Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka tidak menafikan keperluan masyarakat setempat untuk mempelajari bahasa kedua bagi memperolehi ilmu pengetahuan sebanyak mungkin.
Di masa yang sama bangsa Brunei katanya seharusnya bijak untuk menyalurkan ilmu pengetahuan dalam bahasa tersebut ke dalam bahasa Melayu.
Sesi Dialog Bahasa "Bahasa Melayu menjadi Bahasa ASEAN" dengan ahli panelnya terdiri dari Pengarah Penyelidikan, Perkembangan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr.Matim bin Bakar dan Yang Terhormat Aziz Tabligh dari Indonesia. (Foto : Ramli Tengah)
Sesi dialog dipengerusikan oleh Pensyarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam, Awang Md. Zefri Ariff bin Md. Zain Ariff manakala para panel terdiri dari Pengarah Penyelidikan, Perkembangan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Negara Brunei Darussalam, Dr. Mataim bin Bakar manakala panel dari Republik Indonesia diwakili oleh Yang Terhormat Aziz Tabligh.
Antara yang dibahaskan di Dialog Bahasa tersebut termasuklah potensi dan faktor-faktor yang memungkinkan bahasa Melayu menjadi bahasa ASEAN yang mana anggota negara ASEAN dikenali dengan kepelbagaian identiti.
Di majlis tersebut, tetamu kehormat juga menyempurnakan penyampaian cendarahati kepada para panel dialog bahasa tersebut.
-- hak milik Pelita Brunei
0 comments:
Post a Comment