Monday, 25 October 2010

Tiga Pekerja Asing Ditahan, Lima Orang Dikeluarkan Pas Khas

Twitter Facebook More

Oleh : Shari Hj. Garib

Tutong (25 Oktober) - Tiga pekerja asing ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen manakala lima orang lagi dikeluarkan pas khas untuk siasatan lanjut Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) semasa menyertai Operasi Bersepadu 4/2010 bersama agensi-agensi kerajaan anjuran Daerah Polis Tutong (DPT).


Mereka yang ditahan seorang lelaki warganegara Viet Nam serta seorang perempuan dan seorang lelaki rakyat Indonesia sementara lima orang yang diberi pas khas untuk siasatan lanjut berbangsa Bangladesh.

Para pegawai dari agensi-agensi kerajaan semasa mengadakan pemeriksaan ke rumah-rumah tumpangan pekerja asing di Daerah Tutong semasa menyertai Operasi Bersepadu 4/2010 Daerah Polis Tutong (DPT). (Foto : Shari Hj. Garib)

Operasi Bersepadu yang diketuai oleh Pegawai Penguasa Balai Polis DPT, Penolong Penguasa Polis Awang Alvin Goh bertujuan untuk menjaga keselamatan, keamanan dan kesejahteraan negara.

Melalui operasi itu diharap dapat mencegah berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini seperti jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Operasi tersebut melibatkan 53 pegawai penguatkuasa agensi-agensi kerajaan termasuk 26 pegawai polis dari DPT.

Dalam masa yang sama DPT juga mengadakan sekatan jalan raya dan membuat pemeriksaan seperti cukai jalan dan lesen memandu di lebuh raya kawasan Kampung Bukit Penggal dan kawasan Jalan Lamunin.

Seorang anggota polis mengadakan sekatan jalan raya semasa Operasi Bersepadu 4/2010 agensi-agensi kerajaan dengan DPT. (Foto : Shari Hj. Garib)

Semasa operasi itu, pemeriksaan dibuat di rumah-rumah tumpangan pekerja asing dan premis-premis perniagaan di kawasan Kampung Sengkarai, Kuala Tutong, Sungai Basong, Bukit Bendera, Kampung Keriam dan Pekan Tutong.

Operasi yang bermula jam 8.30 malam dan berakhir kira-kira jam 12.00 tengah malam itu disertai oleh JIPK, DPT, Biro Kawalan Narkotik dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja.

Kesejahteraan, keamanan dan keselamatan negara adalah merupakan tanggungjawab bersama oleh itu orang ramai diharap dapat memberikan maklumat kepada pihak yang berwajib seperti Pasukan Polis Diraja Brunei melalui talian 993 jika mengetahui aktiviti-aktiviti yang boleh menggugat ketenteraman negara.

-- hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment