Sunday, 24 October 2010

Hadiri Taklimat 'Mudah Urusan Perniagaan'

Twitter Facebook More

Oleh Dk. Siti Redzaimi Pg. Hj. Ahmad

Bandar Seri Begawan (23 Oktober) - Sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Ke-17, beberapa siri taklimat sempena pameran 'Mudah Urusan Perniagaan' telah diadakan di Dewan Persidangan, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.


Taklimat pertama diadakan pada sebelah pagi yang membawakan tajuk 'Peluang-peluang Perniagaan, Pusat Pemudah Perniagaan dan Pendaftaran Perniagaan' dengan mengundang penceramah terdiri dari Pegawai Undang-Undang dari Bahagian Pendaftaran, Jabatan Kehakiman Negara, Pengiran Yusof bin Pengiran Haji Mat Salleh dan Pegawai Kewangan dari Bahagian Hasil, Kementerian Kewangan, Awang Haji Mohd. Shamsul Riza bin Haji Sulaiman.



Pegawai Undang-Undang Bahagian Pendaftaran Jabatan Kehakiman Negara, Pengiran Yussof bin Pengiran Mat Salleh menyampaikan taklimat sempena pameran 'Mudah Urusan Perniagaan' kepada agensi-agensi kerajaan. (Foto : Abdullah Hj. Awang Damit)

Antara yang disentuh di taklimat ini termasuklah peluang-peluang perniagaan yang terdapat di Negara Brunei Darussalam dan pendaftaran syarikat-syarikat baru yang bertujuan untuk memberikan penjelasan mengenai peraturan-peraturan permulaan dan pengendalian perniagaan.

Taklimat diteruskan pada sebelah petang yang membawakan tajuk 'Premis-premis Perniagaan dan Tapak-tapak Perindustrian' yang disampaikan oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Bandaran.

Sesi taklimat seterusnya akan diadakan pada 23 dan 24 Oktober ini bermula jam 9.00 pagi dan diteruskan pada jam 2.30 petang di tempat yang sama.

Orang ramai yang berminat dan mempunyai keinginan untuk memulakan perniagaan bolehlah menghadirkan diri bagi mengikuti sesi taklimat yang diadakan selama tiga hari itu, bagi mengetahui lebih lanjut tentang peluang-peluang perniagaan, undang-undang perniagaan dan sebagainya terutama bagi para pegawai dan kakitangan kerajaan.

-- hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment