Oleh Ak. Jefferi Pg. Durahman
Bandar Seri Begawan (24 Oktober) - Masyarakat Dusun merupakan masyarakat yang mengamalkan kepercayaan tradisi sejak sekian lama dan pengalaman ini beransur-ansur mengalami perubahan di mana sebahagian mereka mula tertarik kepada agama-agama yang dibawa oleh para pendakwah agama.
"Agama Islam adalah antara agama yang menjadi pegangan di kalangan masyarakat Dusun di Brunei Darussalam dan bersandarkan statistik Pusat Da'wah Islamiah menunjukkan bahawa adalah masyarakat bukan Islam yang paling pesat menerima Islam sebagai agama," jelas Timbalan Dekan, Fakulti Usuluddin Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Hajah Rasinah binti Haji Ahim ketika membentangkan kertas kerjanya kepada para mahasiswa dan mamasiswi Fakulti Usuluddin sempena Multaqa Usuluddin bagi Semester 1 - Sesi 2010/2011 anjuran Fakluti Usuluddin.
Dalam kertas kerjanya yang bertajuk 'Islamisasi Dalam Masyarakat Dusun Di Brunei Darussalam' Dr. Hajah Rasinah menambah, disebabkan kehidupan mereka yang tidak terikat dengan mana-mana agama adalah antara sebab masyarakat ini bersikap terbuka dan lebih mudah menerima Islam sebagai agama.
Meskipun Islam mula menarik perhatian dalam kalangan masyarakat Dusun akan tetapi majoriti daripada mereka katanya masih mengekalkan kepercayaan tradisi, lalu menolak kepada kehidupan beragama.
"Masyarakat ini selesa dengan kehidupan mereka yang tidak terikat pada sebarang agama dan hanya berpandukan kepada kepercayaan tradisi mereka.
Segala peraturan dalam beragama merupakan sesuatu yang asing pada mereka dan sukar untuk menyesuaikan diri dengan cara kehidupan beragama," jelasnya pada membentangkan kertas kerja di Dewan Jubli, UNISSA.
Sebahagian dari para siswi Fakulti Usuluddin yang menghadiri Multaqa Usuluddin bagi Semester 1 - Sesi 2010/2011 anjuran Fakluti Usuluddin. (Foto : Abd. Kadir Md. Tahir)
Pendedahan mengenai Islam tambahnya seterusnya, datang dari pelbagai sumber dan di antaranya ialah melalui pergaulan, pergaulan antara masyarakat Islam dan bukan Islam yang terjalin dengan baik lagi harmoni yang berjaya mempengaruhi masyarakat Dusun untuk memeluk Islam.
Pergaulan dengan masyarakat Islam lain atau rumpun masyarakat Dusun itu sendiri, kaum keluarga, saudara mara, rakan-rakan dan jiran yang beragama Islam katanya telah menarik perhatian masyarakat Dusun bukan Islam untuk menerima Islam sebagai agama.
-- hak milik Pelita Brunei
0 comments:
Post a Comment