Oleh Abdullah Asgar
Bandar seri Begawan (24 Oktober) - Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan Jabatan Sekolah-Sekolah, Cheong Huat Joo berkata Program Kepimpinan Belia Asia Tenggara - Amerika Syarikat (SEAYLP) beri peluang para pesertanya mempromosikan kesefahaman dua hala antara ASEAN dan Amerika Syarikat.
Selain itu katanya, program itu juga dapat mempromosikan cara tadbir yang baik, membantu peserta memperolehi pengetahuan dan kemahiran dalam kepimpinan.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap di Majlis Doa Selamat bagi Program SEAYLP petang tadi di Bilik Kenamaan, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (MDPMAMB), Gadong di sini.
Beliau menjelaskan, program lebih tiga minggu itu merupakan rancangan lawatan yang intensif, berbentuk akademik dan lebih mengutamakan interaktif yang sendirinya memerlukan para peserta membuat persiapan yang rapi dan di sinilah peluang yang terdapat untuk peserta negara mendedahkan keunikan dan keindahan Brunei Darussalam.
Tahun ini tambahnya, pihak penganjurkan telah menyediakan dua tema utama untuk dibahaskan bersama iaitu Ekologi Sungai (river ecology) dan Kepimpinan Abraham Lincoln (leadership of Abraham Lincoln).
Wakil dari Kedutaan Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam, Francis Carroit semasa menyerahkan tiket, elaun dan 'Lapel Pins' kepada ketua rombongan. (Foto : Ampuan Hj. Mahmud Ampuan Hj. Tengah)
Tahun ini lima orang penuntut menengah dan Enam Bawah terpilih menyertainya iaitu Dayang Amar Syahirah binti Haji Abd. Murad, Dayang Noor Maajidah binti Awang Mahmud (MDPMAMB), Dayang Norazlinah binti Johari (Sekolah Menengah Sayyidina Othman), Willy Kong Wei Li (Pusat Tingkatan Enam Meragang) dan Awang Muhammad Hazmi bin Haji Ibrahim (Sekolah Menengah Sayyidina Ali).
Mereka juga akan ditemani oleh dua orang guru pengiring yang juga selaku pembimbing sepanjang berada 25 hari di Amerika Syarikat, majlis tadi juga diteruskan dengan penyampaian tiket, elaun dan lencana oleh wakil Kedutaan Besar Amerika Syarikat, Francis Carroit.
Awang Muhammad Hazmi bin Haji Ibrahim berucap mewakili peserta Program Kepimpinan Belia Asia Tenggara - Amerika Syarikat (SEAYLP). (Foto : Ampuan Hj. Mahmud Ampuan Hj. Tengah)
Sepanjang berada di sana bermula 27 Oktober ini mereka akan menjalankan bengkel dan kesenian, bengkel komunikasi dan berada dengan keluarga angkat selain melawat ke beberapa bandar di Amerika Syarikat seperti Washington DC, Mississippi, Illinois dan Chicago.
Rancangan SEAYLP kedua tajaan sepenuhnya oleh kerajaan Amerika Syarikat dengan kerjasama Universiti Utara Illinois itu bertujuan antara lain mempromosikan kesefahaman kalangan remaja ASEAN dan Amerika Syarikat.
Tiga orang penuntut Sekolah Menengah ASEAN yang antaranya Brunei Darussalam, Kemboja, Laos, Malaysia, Republik Singapura dan Viet Nam menyertainya.
-- hak milik Pelita Brunei
0 comments:
Post a Comment