Monday, 25 October 2010

Jasa Bakti 242 Bekas Staf Kementerian Pendidikan Tidak Dilupakan

Twitter Facebook More

Oleh Hasrulraizan

Bandar Seri Begawan (25/10/2010) — Seramai 242 orang pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan yang bersara pada 2009 hari ini diraikan dalam satu majlis keraian yang bertujuan menghargai dan mengenang jasa bakti mereka.


Acara kemuncak majlis berkenaan ialah penyampaian sijil dan cenderahati kepada mereka yang bersara berkenaan, disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Pehin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar Haji Apong.

Majlis yang diadakan di Hotel Kiulap Plaza itu turut bertujuan mengeratkan dan mengekalkan silaturahim dan hubungan kekeluargaan di antara pegawai dan kakitangan yang masih berkhidmat dan yang sudah bersara di Kementerian Pendidikan.

Mereka yang diraikan itu adalah terdiri daripada kalangan mereka yang telah berkhidmat di Kementerian Pendidikan termasuk pegawai, tenaga pengajar dan kakitangan yang berkhidmat di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi serta teknikal dan vokasional.

Antara pegawai kanan bersara yang diraikan di majlis itu ialah mantan Setiausaha Tetap Kennenterian Pendidikan, Datin Paduka Apsah Haji Abdul Majid, mantan Pengarah Sekolah-Sekolah, Datin Hajah Aishah Haji Mohd Hussain, mantan Pengarah Pendidikan Teknikal, Noorhaizamdin Haji Mosbi, mantan Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Arsad Haji Adis dan bekas Ketua Unit Pendidikan Khas, Haji Abdul Aji Haji Ishak.

Turut menghadiri majlis itu ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Dato Seri Setia Haji Yusoff Haji Ismail, Pemangku Setiausaha Tetap Pendidikan Teras, Haji Suhaila Haji Abdul Karim dan Pemangku Setiausaha Tetap Pengajian Tinggi, Dr Haji Junaidi Haji Abdul Rahman.

Majlis berkenaan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Faizal Janis @ Rosli dari Jabatan Hal Ehwal Masjid, disusuli dengan ucapan daripada Pehin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar.

Meneruskan acara majlis selepas itu ialah ucapan wakil dari pegawai/kakitangan yang bersara iaitu Datin Paduka Apsah, diikuti dengan majlis penyampaian sijil dan cenderahati kepada para pegawai dan kakitangan yang bersara berkenaan dan majlis diakhiri dengan bacaan doa selamat.

-- hak milik Media Permata

0 comments:

Post a Comment