Tuesday 26 October 2010

MKJB Terima Kunjungan Pelawat SMTL

Twitter Facebook More

Oleh : Dk. Hjh Saidah Pg. Hj. Omaralli

Kuala Belait (26 Oktober) - Serombongan pelawat dari Sekolah Menengah Teknik Labuan (SMTL) yang berada di negara ini mengadakan lawatan sambil belajar ke sekolah-sekolah pendidikan teknik dan vokasional.


Rombongan yang diketuai Pengetua Sekolah, Puan Hajah Siti Muslihah Leeudin termasuk tujuh guru dan 26 pelajar Tingkatan Lima terdiri dari 12 pelajar teknikal dan 14 pelajar vokasional itu petang kelmarin melawat ke Maktab Kejuruteraan Jefri Bolkiah (MKJB).

Ketibaan rombongan disambut oleh Pemangku Pengetua MKJB, Awang Haji Md. Sharifuddin bin Haji Mohd. Salleh dan tenaga pengajar maktab.

Pemangku Pengetua Maktab Kejuruteraan Jefri Bolkiah (MKJB), Awang Haji Md. Sharifuddin bin Haji Mohd. Salleh menyampaikan cenderahati kepada ketua rombongan, Pengetua Sekolah Menengah Teknikal Labuan (SMTL), Puan Hajah Siti Muslihah Leeudin.

Turut menyertai rombongan, Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, Puan Maimoon binti Mat Noh.

Puan Hajah Siti Muslihah ketika ditemui memberitahu wakil PELITA BRUNEI bahawa lawatan mereka ke sekolah-sekolah teknik dan vokasional di negara ini sebagai intensif atas kejayaan pelajar-pelajar dalam peperiksaan di peringkat sekolah yang telah dijanjikan oleh pihak sekolah sejak tahun lalu.

Katanya, pelajar-pelajar yang menyertai rombongan tersebut terdiri dari mereka yang meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan di peringkat sekolah selain mempunyai prestasi yang baik dan aktif dalam ko-kurikulum.

Lawatan itu juga katanya sebahagian dari aktiviti sekolah melalui program peningkatan prestasi yang dinamakan Pecutan Akhir Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dilaksanakan setiap tahun sejak 2006.

Antara pengisi program tersebut jelasnya, termasuk ulang kaji berfokus bagi persediaan menghadapi SPM dan studi berkumpulan dengan guru mentor mereka.

Ketua rombongan bersama Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, Puan Maimoon binti Mat Noh menyaksikan pelajar-pelajarnya menggunakan komputer.

Sebelum melawat ke bahagian-bahagian di maktab tersebut, rombongan mendengar ucapan alu-aluan dari Pemangku Pengetua disusuli dengan pengenalan ringkas mengenai maktab yang disampaikan oleh Timbalan Pengetua Pendidikan dan Latihan, Awang Burhan bin Haji Jais dan menyaksikan tayangan video MKJB.

MKJB kini mempunyai hampir 800 pelajar dan 125 guru dengan wawasan untuk menjadikan maktab itu sebagai pusat kecemerlangan dalam jurusan kejuruteraan bagi menghadapi cabaran-cabaran abad ke-21.

Misinya pula untuk menghasilkan tenaga kerja kejuruteraan yang bermutu tinggi, mempunyai pengetahuan dalam jurusan teknikal yang kukuh dan lengkap bersama-sama dengan hasrat yang mendalam untuk belajar dan terus tersemai dengan semangat etos Melayu Islam Beraja (MIB).

Berbagai kursus ditawarkan di maktab tersebut di peringkat Pra Diploma Kebangsaan (PND) dalam kejuruteraan dan Diploma Kebangsaan (ND).

Maktab tersebut dijangka akan membukakan beberapa kursus lain di peringkat ND pada masa akan datang.

Lawatan tersebut bertujuan bagi mendedahkan pelajar-pelajar berkenaan dan meraih pengalaman berhubung dengan sistem pendidikan teknik dan vokasional di negara ini.

Tenaga Pengajar MKJB menerangkan kepada pelajar-pelajar SMTL ketika melawat ke Bahagian Komputer.

Rombongan berada di negara selama tiga hari dan akan pulang esok melalui Terminal Feri Muara.

SMTL dulu dikenali sebagai Sekolah Menengah Vokasional Labuan (SMVL) dirasmikan oleh Mantan Menteri Pelajaran Malaysia, Yang Berbahagia Datuk Dr. Sulaiman bin Haji Daud pada 3 Mac 1983.

Sekolah berkenaan mengandungi tiga aliran pendidikan iaitu aliran teknik selama dua tahun, aliran vokasional dua tahun dan aliran kemahiran selama satu tahun.

SMTL yang terletak di Kilometer 7 Jalan Tanjung Kubong, kira-kira 15 minit perjalanan dari pusat bandar Labuan itu merupakan sekolah vokasional kelima di Sabah selepas SMV Likas, Sandakan, Tawau dan Keningau.

-- hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment