Tuesday, 26 October 2010

Sumbangan Buku Kepada UBD Tambah Sumber Rujukan Kepada Mahasiswa

Twitter Facebook More

Oleh : Khartini Hamir

Bandar Seri Begawan (26 Oktober) - Sumbangan buku-buku dari pelbagai pihak kepada Perpustakaan Universiti Brunei Darussalam (UBD) setentunya akan dapat menambahkan lagi koleksi selain sebagai sumber rujukan kepada mahasiswa.


Sejajar dengan hasrat tersebut, satu Majlis Penyerahan Sumbangan Buku kepada UBD dari Syarikat Early Childhood Publication (ECP) berlangsung petang kelmarin di Bilik Media, Tingkat 3, UBD.

Penolong Naib Canselor Bahagian Korporat dan Pentadbiran, Dayang Hajah Anis binti Haji Zulkiflee menerima sumbangan buku dari Pengarah Urusan Syarikat Early Childhood Publication, Agnes Deelen. (Foto : Abdullah Hj. Awang Damit)

Di majlis tersebut Pengarah Urusan Syarikat ECP, Agnes Deelen menyampaikan sebanyak 61 buah buku pelbagai tajuk meliputi rujukan dan akademik kepada Penolong Naib Canselor Bahagian Korporat dan Pentadbiran, Dayang Hajah Anis binti Haji Zulkiflee.

Menurut Ketua Pustakawan, Dr. Haji Awang Suhaimi bin Haji Abd. Karim sumbangan tersebut secara tidak langsung akan dapat menambah jumlah koleksi buku-buku bercetak yang terdapat di Perpustakaan UBD, yang mana pada masa ini berjumlah 437,249 buah.

Jelasnya, selain terdapat 50,000 e-buku, sumbangan itu akan dapat membantu pihak UBD untuk mencapai sasaran koleksi sebanyak 500,000 buku dari April 2010 hingga Mac 2011.

Sumbangan itu ujarnya juga akan dapat memudahkan para mahasiswa/mahasiswi, para penyelidik dan warga UBD untuk menggunakan sepenuhnya bahan sumber rujukan yang terhad.

Beliau juga menyarankan agar syarikat-syarikat swasta akan dapat menyumbangkan dan memberikan keutamaan sumber rujukan buku-buku kepada perpustakaan-perpustakaan lain di Negara Brunei Darussalam, sama ada perpustakaan sekolah ataupun perpustakaan awam.

-- hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment