Sunday, 24 October 2010

Mesej Persembahan Bagi Mengangkat Martabat Riau Melalui Kebudayaan

Twitter Facebook More

Oleh Rohani Hj. Abd. Hamid

Bandar Seri Begawan (24 Oktober) - Serombongan Ahli Persatuan Masyarakat Riau Jakarta telah mempersembahkan persembahan Budaya Melayu Riau yang berjudul "Gelar Budaya Riau" bertempat di Dewan Raya Radio Televisyen Brunei.


Rombongan terdiri dari beberapa mahasiswa Riau dari berbagai kabupaten dan Asrizal Nur, seniman asal Riau didukung oleh HM.Lukman Edy mantan Menteri Persepatan Daerah dan kini sebagai Ketua Umum Persatuan Masyarakat Riau Jakarta, mempersembahkan Tarian Zapin Melayu dan Teater Bangsawan yang berjudul "Keris menjadi Saksi" yang mencerminkan tuntutan moral yang dapat memperkuatkan karakter bangsa Riau.

Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Awang Haji Jemat bin Haji Ampal semasa hadir menyaksikan Persembahan Budaya Melayu Riau. (Foto : Abdul Kadir Md. Tahir)

Hadir menyaksikan malam kebudayaan itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Haji Jemat bin Haji Ampal sebagai tetamu kehormat.

Persembahan diselanggarakan oleh Kerabat Angkatan Sasterawan dan Sasterawani [ASTERAWANI] Brunei Darussalam itu bermula dengan Tarian Zapin Melayu sebagai pembukaan.

Teater Bangsawan "Keris Menjadi Saksi" sebagai penyeri persembahan yang menceritakan tentang Kerajaan Pelalawan Riau di mana tersebut seorang raja adil dan budiman yang bernama Sultan Syah Alam. Ia dikhianati oleh panglimanya bernama Kiap, sultan, isteri dan anaknya dibunuh, namun seorang antara anaknya bernama Jalak diselamatkan oleh Datuk Bendahara.

Dalam pertemuan bersama Kasi Kesenian Bud Par Provinsi Riau, Dr. Hajah Duni Sriwani.M.SM menyatakan tujuan rombongan tersebut mengadakan malam kebudayaan itu adalah untuk mengeratkan silaturahim antara Brunei dan Riau.

Persembahan tarian yang menghiburkan dari Kumpulan Penari Melayu Riau turut menarik hati penonton yang berlangsung di Dewan Raya Radio Televisyen Brunei. (Foto : Abdul Kadir Md. Tahir)

Beliau yang sudah dua kali datang ke Brunei menjelaskan bahawa terdapat banyak persamaan dari segi seni tari dan kebudayaan antara dua belah pihak.

Di samping itu tambahnya, tujuan lawatan tersebut adalah untuk mempromosikan adat dan sejarah negeri Riau kepada rakyat Brunei amnya bagi mengangkat martabat Riau melalui kegiatan kesenian dan bertukar-tukar kebudayaan demi memperkayakan Khazanah kesenian Indonesia.

-- hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment