Oleh Hezlinawati Hj. Abd. Karimi
Bandar Seri Begawan (24 Oktober) - Para peniaga termasuk para pengusaha kecil dan sederhana (PKS) merupakan antara penggerak perkembangan ekonomi di negara ini.
Penglibatan mereka dalam mengembangmajukan pertumbuhan ekonomi tidak kurang pentingnya seperti mana agensi-agensi lain.
Salah seorang pegawai kanan di Bahagian Perlesenan dari salah sebuah jabatan kerajaan ketika menyampaikan taklimat berhubung kait dengan perlesenan perniagaan yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa. (Foto : Hj. Masmaleh Hj. Mohd. Ali)
Dalam pada itu, untuk mengetahui lebih lanjut akan prosedur-prosedur dan tatacara permohonan perlesenan bagi menjalankan aktiviti perniagaan di bawah kawalan beberapa agensi kerajaan, satu taklimat mengenainya diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa di sini.
Bagi tatacara permohonan untuk mendapatkan lesen perniagaan di bawah kawalan Jabatan-jabatan Bandaran, taklimat telah disampaikan oleh Pegawai Bandaran, Ketua Unit Perlesenan, Awang Haji Jamaluddin bin OKMD Haji Saman.
Beliau antara lain menjelaskan kadar bayaran bagi lesen dan sewa untuk setiap perniagaan yang dijalankan.
Manakala tatacara permohonan untuk mendapatkan lesen perniagaan di bawah kawalan Jabatan Daerah Brunei dan Muara pula disampaikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Pejabat Daerah Brunei dan Muara, Awangku Kamal Ariffin bin Haji Md. Yassin.
Beliau pula menjelaskan proses permohonan Lesen Rampaian sebelum memulakan perniagaan di negara ini.
Sebahagian dari peniaga dan orang ramai yang hadir mendengarkan taklimat mengenai prosedur-prosedur dan tatacara permohonan perlesenan bagi menjalankan aktiviti perniagaan di bawah kawalan beberapa agensi kerajaan. (Foto : Hj. Masmaleh Hj. Mohd. Ali)
Juga menyampaikan taklimat ialah Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Dayang Hajah Shamsiah binti Haji Sian yang memberikan taklimat mengenai perlesenan berkaitan dengan hiburan awam dan penerbitan.
Taklimat 'Ease of Doing Business' (Mudah Urusan Perniagaan) yang berkaitan dengan permit dan lesen itu diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Perkhidmatan Awam tahun ini.
-- hak milik Pelita Brunei
0 comments:
Post a Comment