Sunday, 24 October 2010

Produk 'Miracle Mineral Solution' Memudaratkan Kesihatan

Twitter Facebook More

Bandar Seri Begawan (23 Oktober) - Kementerian Kesihatan memaklumkan kepada orang ramai berhubung penjualan produk 'Miracle Mineral Solution' atau 'Miracle Mineral Supplement' (MMS) melalui internet yang boleh memudaratkan kesihatan apabila digunakan (produk tersebut juga dikenali dengan nama-nama lain).


Menurut laporan yang diterima dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), arahan penggunaan produk ini memerlukan pengguna untuk mencampurkan beberapa titik produk ini yang mengandungi 28 peratus 'sodium chlorite' dengan 'citric acid' dan kemudiannya dicampur dengan air atau jus buah sebelum diminum.

Campuran-campuran ini menghasilkan 'chlorine dioxide' iaitu sejenis bahan peluntur kuat yang lazim digunakan dalam industri tekstil dan industri rawatan air.

Kimia peluntur ini boleh memudaratkan kesihatan pengguna dan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan seperti muntah dan cirit-birit.

Jika keadaan ini berlarutan ia boleh mengakibatkan dehidrasi, sakit perut, sakit kerongkong, pendarahan dan tidak boleh menghasilkan air kencing.

Kandungan kapsul pula, apabila ditelan akan menyebabkan kerosakan usus dan perut.

Memandangkan produk tersebut boleh memudaratkan kesihatan jika ia dimakan sama ada oleh orang dewasa ataupun kanak-kanak, maka, Kementerian Kesihatan ingin mengingatkan orang ramai agar tidak membeli atau menggunakan produk berkenaan.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Kementerian Kesihatan telah membuat pemantauan bagi memastikan produk berkenaan tidak ada di pasaran dan tidak diimport ke negara ini.

Kementerian Kesihatan juga mengingatkan orang ramai, seperti mana yang diperuntukkan di bawah Bab 9 ceraian (1) sub-perenggan (i) Akta (Kesihatan Awam) (Makanan), (Penggal 182) sesiapa yang menyediakan, menjual atau mengimport makanan yang boleh memudaratkan kesihatan, jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan selama lima tahun atau suatu denda atau kedua-duanya sekali.

Sebarang pertanyaan dan keterangan lanjut bolehlah menghubungi Bahagian Kawalan Kualiti dan Keselamatan Makanan, Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Jalan Delima Dua, Berakas. BB2313 di talian: 231100-5/6/8/9/10 / faksimile : 2331107

-- hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment