Thursday 18 November 2010

3 Premis Perniagaan Didapati Menjual Ubat-Ubatan Ditegah

Twitter Facebook More

Tutong (13 November 2010) - Pemeriksaan ke atas empat premis perniagaan di bawah kawalan Jabatan Daerah Tutong (JDT) mendapati tiga premis perniagaan menjual ubat-ubatan yang ditegah.


Ubat-ubatan tersebut dirampas oleh Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Farmasi, Kementerian Kesihatan di bawah Akta Racun.

Pemeriksaan tersebut dibuat oleh Bahagian Penguatkuasaan, JDT dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan lain di daerah itu pada 11 November 2010 lepas.

Antara agensi kerajaan yang terlibat dalam operasi tersebut ialah Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Farmasi, Kementerian Kesihatan; Jabatan Kastam dan Eksais Diraja; Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Cawangan Daerah Tutong dan Pasukan Polis Diraja Brunei.

Pemeriksaan yang merupakan salah satu aktiviti kerjasama berterusan agensi-agensi penguat kuasa undang-undang kerajaan melalui operasi sepadu itu bertujuan mencegah dan membanteras jenayah dengan memastikan semua akta-akta dan peraturan di bawah bidang kuasa agensi-agensi berkenaan sentiasa dipatuhi di samping menjaga keselamatan dan kesejahteraan penduduk Daerah Tutong khasnya dan Negara Brunei Darussalam amnya.

Selain itu, operasi tersebut bertujuan memantau dan memastikan penjualan ubat-ubatan di premis-premis perniagaan di bawah kawalan JTD telah disahkan dan mengikut peraturan-peraturan serta selamat untuk digunakan oleh para pengguna.

Bahagian Penguatkuasaan, JDT akan sentiasa memantau dan memastikan undang-undang yang diperuntukkan dapat dipatuhi oleh peniaga-peniaga di premis-premis perniagaan di bawah kawalan JDT. -- hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment