Thursday 18 November 2010

Bengkel Menepati Sasaran Dalam Mempelajari Prinsip-Prinsip Perubatan

Twitter Facebook More

Bandar Seri Begawan (12 November 2010) - Seramai 40 orang peserta yang terdiri dari doktor-doktor dan jururawat-jururawat dari hospital-hospital dan klinik-klinik kesihatan di seluruh negara telah berjaya mengikuti dan menghadiri Majlis Penutup Bengkel Kebangsaan Perubatan Berdasarkan Bukti (EBM) dan Kejururawatan Kali Pertama, yang berlangsung di Tarindak d'Seni Restaurant, Pusat Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei, di sini, malam tadi.


Hadir di majlis tersebut selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Dato Paduka Awang Haji Abdul Salam bin Abdul Momin.

Menurut Pengerusi Bengkel EBM, Dr. Nurul Bahriah binti Haji Ali, bengkel tersebut berjaya menepati sasaran utama dalam mempelajari tentang prinsip-prinsip perubatan berdasarkan bukti dan kejururawatan, di samping dapat menimba kemahiran-kemahiran yang perlu untuk dipraktikkan dalam amalan-amalan klinikal berdasarkan 'profesion' masing-masing.

Bengkel selama tiga hari itu telah dibimbing oleh lapan orang pakar perubatan yang diundang khas dari Republik Singapura dan Republik Filipina. Selain itu, kejayaan bengkel ini berada di taraf nasional telah berjaya memenuhi matlamatnya untuk terus bergiat kembang sejajar dengan moto Kementerian Kesihatan 'Bersama Menuju Bangsa Yang Sihat' (Together Towards a Healthy Nation).

Selain itu melalui kejayaan bengkel ini juga akan dapat merealisasikan visi untuk masa depan iaitu untuk menghantar mereka yang berpotensi untuk mengikuti kursus jurulatih di Persidangan Asia-Pasifik NEBMN.

Dari itu para pakar perubatan adalah disarankan untuk sentiasa mengaplikasikan pengalaman-pengalaman dan kemahiran-kemahiran yang dipelajari bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan yang sedia ada dan sentiasa memainkan peranan penting dalam menyediakan dan mempromosikan persekitaran yang sihat.

Di akhir majlis tersebut, tetamu kehormat telah berkesudian menyampaikan sijil kepada para peserta bengkel dan cenderamata kepada para fasilitator bengkel. -- hak milik Pelita Brunei


(Oleh : Khartini Hamir)

0 comments:

Post a Comment