Thursday 18 November 2010

Pegawai Kanan Kerajaan ASEAN Sertai Kursus Pengurusan IT

Twitter Facebook More

Gadong (12 November 2010) - Sektor Teknologi Info Komunikasi (ICT) telah berkembang dengan meluas sejak beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan dengan pengenalan internet, komunikasi mudah alih dan teknologi tanpa wayar.


Timbalan Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin menyatakan perkara tersebut di Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil bagi Kursus Pengurusan Teknologi Maklumat (IT) untuk Pengurus-pengurus tidak celik IT (Managing with I.T for Non-I.T Managers Course).

Menurutnya, kemajuan teknologi telah merubah dunia kehidupan kita dan cara hidup kita di rumah, di tempat kerja dan cara perjalanan dan perhubungan dan perubahan pantas telah membawa dunia kepada cabaran-cabaran baru kepada semua terutama dalam sektor kerajaan.

Orang awam tambahnya, juga telah mula menggunakan ICT lebih banyak lagi disebabkan ianya semakin termampu dan mudah untuk digunakan.

Majlis yang diselajurkan dengan Majlis Makan Malam di Hotel Antarabangsa Rizqun, di sini turut diserikan dengan persembahan kebudayaan dari setiap negara peserta dari Republik Demokratik Rakyat Lao, Myanmar dan Republik Viet Nam.

Seramai 15 pegawai kanan kerajaan dari negara-negara tersebut menyertai program yang dikendalikan oleh Institut Perkhidmatan Awam (IPA) itu yang bermula pada 25 Oktober dan berakhir pada 11 November merupakan satu usaha untuk menghubungkan jurang digital di antara ahli-ahli negara ASEAN lama dengan yang baru iaitu CLMV.

Di akhir kursus, para peserta menghargai pelbagai peluang yang ditawarkan oleh pakej perisian aplikasi komputer dengan menggunakan pelbagai 'template' yang disediakan dan mengintegrasikan pelbagai elemen setiap aplikasi dengan aplikasi lain dengan menggunakan pengetahuan tersebut dan kemahiran dalam tugas-tugas rutin harian pengurusan dalam mengembangkan Pelan Tindakan bagi organisasi.

Program ini merupakan inisiatif berdasarkan Inisiatif Integrasi ASEAN (IAI) dan IPA sebagai lembaga pelatihan di Brunei Darussalam diberi mandat untuk melaksanakan program ini sebagai suatu jalan dalam melengkapkan peserta dengan pengetahuan terkini dan kemahiran yang diperlukan untuk merancang dan melaksanakan secara berkesan dalam dasar kerajaan, projek-projek dan aktiviti.

Inisiatif ini bertujuan bagi membantu negara-negara anggota baru dalam program pembangunan mereka dalam melancarkan integrasi yang lebih besar dalam ekonomi serantau, mempromosikan pembangunan ekonomi yang adil dan membantu mengentaskan kemiskinan.

Salah satu perkara yang diutamakan untuk negara-negara CLMV pada Rencana Kerja IAI ialah Teknologi Maklumat dan Komunikasi, yang merangkumi Perundangan ICT dan e-Kerajaan. -- hak milik Pelita Brunei


(Oleh : Haniza Abdul Latif)

0 comments:

Post a Comment