Thursday 18 November 2010

Graduan Diseru Menanamkan Keyakinan Sebagai Graduan Yang Berkemahiran

Twitter Facebook More

Tungku (12 November 2010) - Para graduan diseru untuk melangkah dengan yakin sebagai graduan teknikal dan vokasional yang berkemahiran tinggi dalam mengharungi fasa kehidupan seterusnya.


Segala usaha, kegigihan dan kesabaran para graduan dalam mengharungi pengajian masing-masing berbaloi dengan pencapaian kejayaan yang disaksikan pada hari bersejarah ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Setia Awang Haji Yusoff bin Haji Ismail berucap demikian di Majlis Konvokesyen Kebangsaan Institusi-institusi Pendidikan Teknik dan Vokasional Kali Ke-14 yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam.

Beliau berkata, ambillah sikap positif dalam mengatur langkah selanjutnya dalam kehidupan serta mengambil kesempatan terhadap kekukuhan dan kestabilan ekonomi ini dengan mengambil apa jua peluang-peluang pekerjaan yang ada sesuai dengan kelulusan dan bidang masing-masing.

Majlis dimulakan dengan bacaan Ayat-ayat Suci Al-Qur'an oleh Pelajar Tahun Dua, Diploma Kebangsaan dalam Jurusan Kejuruteraan Mekanikal dari Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal, Awang Abdul Wafy bin Zainal Abidin dan diikuti dengan kata alu-aluan dari Pemangku Penolong Pengarah Pendidikan Teknik, Awang Haji Abdullah bin Ahmad selaku pengerusi majlis.

Seramai 155 penuntut telah dianugerahkan penyampaian sijil yang terdiri 36 pelajar menerima Diploma Kebangsaan, seorang pelajar menerima Sijil Kebangsaan, 103 pelajar menerima Sijil Kejuruan Kebangsaan Gred 2 dan 15 pelajar menerima Sijil Kejuruan Kebangsaan Gred 3 dalam berbagai jurusan yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan.

Di majlis tersebut juga mengumumkan penganugerahan dua orang Pelajar Terbaik Pendidikan Teknik dan Vokasional Brunei Darussalam dengan membawa pulang pingat dan sijil penghargaan.

Penerima pertama ialah penuntut Maktab Kejuruteraan Jefri Bolkiah mengambil kursus Pra-Diploma Kebangsaan jurusan 'Building Services Engineering', Dayang Rohaya binti Juin dan penerima kedua ialah penuntut Sekolah Vokasional Nakhoda Ragam mengambil kursus Sijil Kejuruan Kebangsaan Gred 2 jurusan Electrical, Awang Mohammad Safiyullah bin Anuar.

Majlis diserikan lagi dengan persembahan Nasyid dari Juara Pertandingan Nasyid antara Institusi-institusi Pendidikan Teknik dan Vokasional dari Kumpulan Nasyid Sekolah Vokasional Nakhoda Ragam. -- hak milik Pelita Brunei


(Oleh : Saerah Haji Abd. Ghani)

0 comments:

Post a Comment