Thursday 18 November 2010

Penggunaan Tanah Yang Komprehensif, Optimal Satu Kemestian

Twitter Facebook More

Jerudong (12 November 2010) - Peranan Perancangan Bandar bagi menyediakan masa depan yang berdayatahan akan lebih mencabar dalam suasana persekitaran sejagat yang dihambat dengan cabaran dan isu-isu seperti perubahan iklim dan pemanasan global.


Oleh itu pengiktirafan perancangan sebagai 'the forefront' dalam pembangunan sesebuah negara adalah amat kritikal.

Menyedari akan hal itu Negara Brunei Darussalam bersama-sama negara lain di seluruh dunia mengadakan sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia.

Majlis pelancaran sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia disempurnakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, berlangsung di Pusat Persidangan Pertahanan Antarabangsa BRIDEX, di sini.

Berucap di majlis itu, Pesuruhjaya Perancang Bandar dan Desa, Awang Hong Kok Seng berkata negara menyedari bahawa kemajuan yang hanya menjana kejayaan dan faedah jangka pendek tidak akan menjamin perkembangan sosioekonomi yang berterusan.

Negara katanya perlu menerima hakikat bahawa sumber tanah yang bersesuaian untuk kemajuan adalah terhad.

"Perancangan guna tanah yang komprehensif dan bersepadu serta penggunaan tanah yang optimal adalah satu kemestian berdasarkan visi dan objektif untuk mencapai kehidupan rakyat yang berkualiti dengan gaya hidup yang seimbang dalam suasana persekitaran yang kondusif dan seterusnya menjamin kemakmuran negara yang berterusan sesuai dengan prinsip wawasan Negara 2035," jelasnya.

Tema sambutan 'Merancang Masa Depan Yang Berdayatahan', menjurus kepada matlamat untuk mewujudkan dan memastikan masa depan yang terjamin bagi generasi akan datang.

Sambutan tahunan Hari Perancangan Bandar Sedunai 2010 ini dikendalikan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Kementerian Pembangunan.

Perancangan Bandar mempunyai peranan yang amat kritikal di dalam menjamin masa depan yang berdayatahan di dalam keadaan di mana tanah sebagai sumber yang terhad perlu dirancang dan diagihkan secara terbaik agar dapat memenuhi kehendak pembangunan yang pelbagai dan pemeliharaan sumber asli dan persekitaran yang bersih dan terjamin. -- hak milik Pelita Brunei


(Oleh : Hezlinawati Haji Abd. Karim)

0 comments:

Post a Comment