Thursday 18 November 2010

Sambutan Ulang Tahun Penubuhan TDDB Dengan Acara Keagamaan

Twitter Facebook More

Berakas (13 November 2010) - Bagi memperingati Ulang Tahun Penubuhan Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) Ke-49, Batalion Pertama TDDB telah mengungkayahkan Pertandingan Musabaqah Tilawah Al-Qur'an buat julung kalinya bersempena dengan penubuhan TDDB yang jatuh pada 4 November setiap tahun.


Berlangsung di Surau Berakas Garison di sini, seramai 9 peserta telah mengikuti pertandingan bagi Kategori Pegawai Terbuka, 11 peserta menyertai Kategori Perajurit Lelaki sementara Kategori Wanita Dewasa disertai oleh 3 peserta.

Pemilihan peringkat awal dimulakan dengan tasmik semua pembaca bermula 2 hingga 5 November lepas sementara peringkat saringan telah diadakan pada 8 November lalu bagi memilih peserta ke pertandingan peringkat akhir hari ini.

Majlis Penyampaian Hadiah diadakan malam ini di Dewan Pahlawan Berakas Garison dan telah disampaikan oleh Pemerintah TDDB, Kolonel Haji Yusof bin Haji Abd. Rahman.

Johan Kategori Pegawai Terbuka disandang oleh 863 Leftenan Abd. Mujib bin Japar dari Batalion Kedua TDDB sementara 14855 Koperal Mohd. Erwanshah bin Razali dipilih sebagai johan bagi Kategori Perajurit Lelaki manakala johan bagi Kategori Wanita Dewasa disandang oleh Dayang Nabihah binti Haji Ramlee.

Majlis diselajurkan dengan penyampaian hadiah bagi pemenang-pemenang Pertandingan Nasyid dan Dikir Peringkat TDDB Sempena Ulang Tahun Penubuhan TDDB. Johan pertandingan nasyid dimenangi oleh Batalion Bantu TDDB, diikuti oleh Batalion Kedua TDDB sebagai naib johan dan tempat ketiga dimenangi oleh Batalion Pertama TDDB.

Sementara Pertandingan Dikir dimenangi oleh Batalion Bantu TDDB, naib johan dimenangi oleh Batalion Kedua dan di tempat ketiga dimenangi oleh Khidmat Bantuan Kombat (KPK) yang terdiri daripada gabungan Depot Logistik TDDB dan Kejuruteraan Darat TDDB. -- hak milik Pelita Brunei


(Oleh : Ihsan Kementerian Pertahanan)

0 comments:

Post a Comment