Thursday, 18 November 2010

Sukan Asia Ke-16 Dirasmikan Penuh Keunikan

Twitter Facebook More

Guangzhou, Republik Rakyat China (13 November 2010) - Bandaraya Guangzhou melakar sejarahnya dengan kegemilangan apabila penantian selama empat tahun untuk menjadi tuan rumah kepada Sukan Asia ke-16 kini menjadi kenyatan.


Setelah kejayaan Beijing 20 tahun lalu dalam penganjuran temasya sukan empat tahun sekali ini, Guangzhou juga tidak melepaskan peluang keemasan ini tanpa mencipta sejarahnya sendiri yang indah dan sukar dilupakan khusus bagi rakyat dan penduduk di kota besar ini.

Indah, unik dan menakjubkan itulah yang dapat digambarkan apabila Majlis Upacara Pembukaan Rasmi Sukan Asia Ke-16 berlangsung dengan penuh gilang-gemilang dan warna-warni serta bermandikan cahaya lampu dan percikan bunga api.

Untuk pertama kalinya dalam sejarah Sukan Asia, upacara perasmian yang biasanya diadakan di dalam stadium, kini diadakan sepanjang Sungai Pearl di Pulau Haixinsha yang menghadap keindahan kota Guangzhou.

Pulau Haixinsha merupakan sebuah pulau yang mana di atasnya dibina arena utama bagi majlis pembukaan dengan meliputi lima bahagian, termasuk kawasan duduk penonton, yang boleh memuatkan seramai 30 ribu orang.

Majlis perasmian merangkumi tiga bahagian utama iaitu perarakan kapal di 'pearl river' yang berjumlah 45 buah sebagai simbol jumlah penyertaan negara-negara ke temasya ini yang bermula dari White Swan Bay menuju ke Pulau Haixinsha, majlis perasmian dan persembahan artistik yang bertemakan air.

Perdana Menteri Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Wen Jiabao hadir merasmikan upacara gilang-gemilang ini dengan mendapat tepukan gemuruh para penonton.

Berangkat ke majlis pembukaan ini Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC).

Manakala kontinjen negara yang diketuai olef Chef de Mission, Awang Haji Muhd Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani bersama 8 orang atlet negara yang membawa cabaran ke temasya ini bakal memenuhi impian mereka turut menyertai atlet yang lain dalam majlia upacara perasmian ini.

Kontinjen negara akan menyertai dalam empat acara sukan seperti Wushu, Karatedo, Lawan Pedang dan Sukan Berkuda.

Majlis perasmian dimulakan dengan persembahan bunga api yang menghujani kawasan perasmian sejurus sebelum Majlis Menaikkan Bendera Republik Rakyat China yang disempurnakan oleh kawalan kehormatan People's Liberation Army.

Seperti lazimnya, majlis perasmian dimulakan dengan perarakan lalu dari semua kontinjen dan diikuti dengan pengisytiharan pembukaan rasmi oleh Tuan Yang Terutama Wen Jiabao.

Upacara pembukaan disusuli dengan Majlis Menaikkan Bendera Sukan Asia dan seterusnya penyalaan obor Sukan Asia Ke-16 sebagai tanda rasminya temasya empat tahun sekali itu.

Terdahulu sebelum majlis perasmian orang ramai yang menyaksikan dihiburkan dengan persembahan dari berbagai budaya seperti budaya Lingnan, budaya Cina, budaya Asia serta budaya sukan.

Tarikh Upacara Pembukaan Rasmi Sukan Asia Ke-16 dipilih untuk menghormati mendiang Presiden Sun Yat-sen yang merupakan figur luar biasa dalam sejarah moden China yang masih dipuja di daratan China serta di Taiwan dan menjadi peringatan yang ke-144 tahun.

Dengan perasmian ini bermulalah temasya bagi edisi ke-16 temasya Sukan Asia ini dengan semangat penuh kesukanan. -- hak milik Pelita Brunei


(Laporan : Abu Bakar Hj. Abdul Rahman dari Guangzhou, Republik Rakyat China)

0 comments:

Post a Comment