Jerudong (12 November 2010) - Kebebasan sektor pengangkutan memainkan peranan penting kepada Kesalinghubungan ASEAN bagi mencapai wawasan Masyarakat Ekonomi ASEAN menjelang 2015 yang ditetapkan oleh para pemimpin.
Jemaah Menteri Pengangkutan ASEAN berharap untuk memulakan peranan itu dengan rumusan dari Momorandum Persefahaman bagi Urusan Perkhidmatan Udara ASEAN dengan rakan-rakan dialog dan Perjanjian Pelbagai Hala ASEAN mengenai Kebebasan Penuh bagi Penumpang Perkhidmatan Udara.
Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Abdullah menjelaskan perkara itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Menteri-menteri Pengangkutan ASEAN Kali Ke-16 hari ini.
Menurut Yang Berhormat, perlaksanaan dokumen berkenaan serta protokal akan memberikan persaingan dan peluang-peluang bagi meningkatkan pasaran perjalanan udara di rantau ASEAN, antaranya dengan memperbanyakkan destinasi, meningkatkan kapasiti dan mengurangkan tambang.
Yang Berhormat berkata, sistem pengangkutan yang efisien dan bersepadu adalah mustahak bagi ASEAN untuk memperluaskan persaingan ekonomi dan memudahkan penyatuan dengan ekonomi sejagat.
Kerjasama pengangkutan serantau, jelas Yang Berhormat telah dirasmikan pada Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN di Bali, Republik Indonesia pada tahun 1996, yang mana sehingga kini ASEAN mempunyai pelbagai inisiatif dan rangka kerjasama dalam pengangkutan udara, darat dan maritim.
Menyentuh mengenai Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN yang dimeterai oleh para pemimpin di Sidang Kemuncak ASEAN Ke-17 di Viet Nam pada Oktober tahun ini yang menekankan kepada kesalinghubungan fizikal, institusi dan antara penduduk dengan matlamat untuk mewujudkan hubungan serantau dan di antara ASEAN dan rantau Asia Timur yang lebih luas bagi jangka panjang.
Pada mesyuarat kali ini, kata Yang Berhormat, perkara utama yang akan dikemukakan ialah Pelan Tindakan Brunei (BAP) 2011-2015 yang dirujuk sebagai Pelan Strategik Pengangkutan ASEAN (ASTP) 2011-2015.
Yang Berhormat menambah, BAP kini akan mengambil alih Pelan Tindakan Pengangkutan ASEAN (ATAP) 2005-2010 yang akan menjadi rujukan panduan utama bagi kerjasama dan kesepaduan pengangkutan ASEAN bagi tempoh lima tahun.
Mesyuarat Menteri-menteri Pengangkutan ASEAN Ke-16 yang berlangsung di The Empire Hotel and Country Club, bermula pada 8 November lepas dengan Mesyuarat Pegawai-pegawai Pengangkutan Kanan ASEAN (STOM) Ke-30 dan disusuli dengan Sesi Plenari. -- hak milik Pelita Brunei
(Oleh : Bolhassan Haji Abu Bakar)
Thursday, 18 November 2010
Sektor Pengangkutan Berperanan Mencapai Wawasan Masyarakat Ekonomi ASEAN Menjelang 2015
Posted by Neo Minda on 12:34
0 comments:
Post a Comment