Thursday 18 November 2010

Sumber, Tapak Tanah Cabaran Utama Perancangan

Twitter Facebook More

Jerudong (12 November 2010) - Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman berkata cabaran utama perancangan ketika ini ialah negara berhadapan dengan kemajuan di semua sektor yang memerlukan sumber/tapak tanah.


Yang Berhormat berkata demikian ketika melancarkan sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia, berlangsung di Pusat Persidangan Pertahanan Antarabangsa BRIDEX, di sini.

Sumber/tapak tanah yang diperlukan itu menurut Yang Berhormat adalah seperti keperluan bagi projek-projek perumahan negara dan projek-projek pertanian bagi mencapai tahap sara diri bagi bekalan makanan utama.

Selain itu kata Yang Berhormat, ia juga diperlukan bagi menyediakan kawasan-kawasan industri untuk mempelbagaikan ekonomi dan menarik pelaburan dari luar (FDI) dengan memperbaiki lagi 'the ease of doing business in Brunei', keperluan bagi projek-projek kerajaan seperti prasarana dan bangunan-bangunan kerajaan.

Semua ini jelas Yang Berhormat memberi tekanan kepada kawasan-kawasan yang dulunya disimpan bagi tujuan lain seperti kawasan hutan simpanan, hutan bakau dan kawasan-kawasan tadahan sumber air.

Ini kerana menurut Yang Berhormat hanya kira-kira 5.5 peratus dari jumlah keluasan tanah di negara ini yang boleh dimajukan tanpa melibatkan banyak kerja-kerja penyediaan tapak.

"Maka dengan itu, perlunya ada satu sistem kawalan kemajuan yang bersepadu," jelas Yang Berhormat.

Ke arah ini jelas Yang Berhormat, penubuhan Bahagian Kawalan Industri Bangunan dan Pembinaan (Building Control and Construction Industry Division), ringkasnya ABCi pada bulan Ogos lalu di bawah Kementerian Pembangunan, adalah bertujuan supaya peranan Jabatan Perancang Bandar dan Desa lebih tertumpu kepada 'mempastikan kemajuan yang dicadangkan adalah selaras dengan pelan-pelan perancangan dari segi aspek-aspek 'zoning', kepadatan dan kadar kemajuan berdasarkan keluasan lot tanah, garis bangunan, had ketinggian, letak kereta, kesesuaian jalan laluan, lanskap serta pertimbangan-pertimbangan perancang yang menjurus kepada keserasian (compability) dengan keadaan sekeliling'.

Yang Berhormat terdahulu menegaskan bahawa amalan penggunaan tanah, yang berpandukan kepada syarat-syarat yang berjalan sekarang perlu dikaji jika ia menyebabkan perkembangan kemajuan Bandar (urban sprawl) yang tidak terkawal, 'haphazard, inefficient' dan tidak terarah.

"Dalam perkara ini, Jabatan Perancang Bandar dan Desa perlulah proaktif menghadapkan perancangan, strategi atau dasar yang dapat memberi keyakinan atau 'confidence' kepada 'stakeholders', serta memiliki ciri-ciri yang boleh mewujudkan pembangunan yang 'berdaya tahan'", ujar Yang Berhormat.

'Green growth initiative' yang hangat dibincang dan sudah dilaksanakan di beberapa buah negara menurut Yang Berhormat sudah sepatutnya boleh kita contohi dan lakukan kerana ia selaras dengan konsep kedayatahanan yang dimaksudkan.

Yang Berhormat berkata, perancangan yang menjurus kepada 'sustainability' adalah tanggungjawab bersama kerana ia akan membawa kebaikan kepada semua lapisan penduduk dan meyakinkan generasi akan datang bahawa sumber yang mereka perlukan untuk meneruskan kehidupan adalah terpelihara, disebalik pembangunan yang ada. -- hak milik Pelita Brunei


(Oleh : Hezlinawati Haji Abd. Karim)

0 comments:

Post a Comment