Oleh : Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim & Saerah Hj. Abd. Ghani
Bandar Seri Begawan (27 Oktober) - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan Pingat-pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam kepada 852 orang yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan sempena ulang tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-64.
Berangkat mengurniakan pingat-pingat kehormatan negara tersebut bagi pihak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Istiadat pengurniaan pingat tersebut berlangsung di Balai Singgahsana Indera Kenchana Istana Nurul Iman di sini.
Mendahului pengurniaan pingat-pingat itu ialah pengurniaan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) kepada 86 orang penerima dengan yang didahului oleh Yang Berhormat Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Awang Goh King Chin.
Sementara Pingat Indah Kerja Baik (P.I.K.B) pula dikurniakan dan diterima oleh sejumlah 336 orang yang terdiri dari pegawai dan kakitangan kerajaan dari berbagai kementerian dan jabatan dengan mendahului senarai penerima ialah Dr. Haji Mohammad Kartono Ibnoe dari Kementerian Kesihatan.
Kemudian Duli Yang Teramat Mulia juga mengurniakan Pingat Kerja Lama (P.K.L) kepada 430 orang penerima yang juga terdiri dari pegawai dan kakitangan kerajaan.
Bagi memberkati istiadat pengurniaan pingat, doa selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Berangkat dan hadir di istiadat pengurniaan itu ialah Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria, Pengiran-pengiran Peranakan, Menteri-menteri Kabinet, Timbalan Menteri Kabinet, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-setiausaha Tetap, Diplomat-diplomat Asing dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
-- hak milik Pelita Brunei
Wednesday, 27 October 2010
852 Dikurniakan Pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam
Posted by Neo Minda on 15:31
0 comments:
Post a Comment