Oleh : Hezlinawati Hj. Abd. Karim, Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi & Nooratini Hj. Abas
Bandar Seri Begawan (27 Oktober) - Para peniaga di negara ini dapat mengembangkan perusahaan mereka dengan lebih selesa dan seterusnya menyumbang pada ekonomi negara ini melalui kemudahan yang terdapat di Bangunan Sumbangsih Bahagia.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat melawat dan seterusnya merasmikan bangunan tersebut yang terletak di Kompleks Perindustrian Beribi, Gadong.
Majlis perasmian bangunan tersebut dibuat sejurus selepas baginda menyempurnakan penganugerahan anak-anak kunci rumah di bawah Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Kampung Lumapas 'A' dan Kampung Mata-Mata (Katok 'B'), Gadong bagi Daerah Brunei dan Muara, diadakan di Dewan Sekolah Vokasional Wasan, Kampung Limau Manis, Mukim Pengkalan Batu.
Bangunan Sumbangsih Bahagia dibina di atas tapak seluas lebih empat ekar dengan menelan belanja BND2.4 juta dan menyediakan pelbagai kemudahan pembiayaan, perbankan dan automobil termasuklah HSBC Finance (Brunei) Berhad, Momo Corse Auto Company, Perbadanan TAIB, TAKAFUL IBB Berhad, Baiduri Finance Berhad, GHK Group of Companies dan Proinsure Enterprise.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengakhiri lawatan dengan dijunjung berangkat bagi santap di Dewan Sejahtera Kompleks Perindustrian Beribi II, yang terletak di bangunan berkenaan.
-- hak milik Pelita Brunei
Wednesday, 27 October 2010
Berkenan rasmikan Bangunan Sumbangsih Bahagia
Posted by Neo Minda on 15:31
0 comments:
Post a Comment