Wednesday, 27 October 2010

852 Terima Pingat Kehormatan

Twitter Facebook More

Oleh Rafidah Jumat

Bandar Seri Begawan (27/10/2010) - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan Pingat-Pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam kepada seramai 852 orang lagi penerima terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan sempena ulang tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-64 tahun.


Mewakili Baginda bagi menyempurnakan pengurniaan pingat kehormat pada hari ketiga hari ini ialah Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.

Mendahului pengurniaan pingat-pingat itu ialah pengurniaan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) kepada 86 penerima, diikuti Pingat Indah Kerja Baik (P.I.K.B) kepada 336 penerima yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan dari pelbagai kementerian dan jabatan.

Istiadat pengurniaan pingat kehormat yang berlangsung di Balai Singgahsana Indera Kenchana, Istana Nurul Iman itu turut menyaksikan pengurniaan Pingat Kerja Lama (P.K.L) kepada 430 orang penerima, terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan.

Istiadat Pengurniaan Pingat itu turut dihadiri Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Pengiran-Pengiran Peranakan, Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan Menteri Kabinet, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-Setiausaha Tetap, diplomat-diplomat asing dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

-- hak milik Media Permata

0 comments:

Post a Comment