Daripada Sim Y. H.
Hanoi (29/10/2010) - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini, bertitah menyentuh cabaran-cabaran yang dihadapi oleh ASEAN dalam usaha untuk membangun Komuniti ASEAN dan perlunya ASEAN untuk menangani cabaran-cabaran berkenaan.
Cabaran-cabaran itu termasuk keperluan bagi menumpukan semula usaha bagi membentuk strategi yang efektif dalam menangani rakan-rakan kongsi ASEAN dan Baginda Sultan juga menekankan perlu adanya kemahuan politik yang kuat dalam ASEAN untuk mempengaruhi hala tuju ekonomi di rantau ASEAN dan juga antarabangsa.
Baginda Sultan bertitah demikian semasa Sesi Retreat di Sidang Kemucak ASEAN ke-17 yang berlangsung di Pusat Persidangan Kebangsaan, Hanoi, Vietnam, hari ini.
Baginda turut menyentuh mengenai Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN dan menegaskan supaya perlu ada penyelarasan yang menyeluruh di peringkat kebangsaan serta serantau bagi memastikan semua pihak yang berkepentingan akan membuat usaha bagi melaksanakan Pelan Induk tersebut secara efektif.
Baginda Sultan juga mengalu-alukan cadangan untuk mencari sumber baru dan idea inovatif untuk mengerahkan sumber dan kepakaran, terutama sekali melalui hubungan kerjasama sektor awam dan swasta.
Terdahulu sebelum sesi retreat berkenaan, Baginda Sultan berkenan berangkat menghadiri Majlis Santap Tengah Hari Ketua-ketua Negara ASEAN bersama Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN yang berlangsung di Pusat Persidangan Kebangsaan, Hanoi.
Di majlis berkenaan, Baginda bersama ketua-ketua Negara ASEAN yang lain membincangkan laporan daripada Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN mengenai cara-cara sektor swasta dapat memberikan sumbangan kepada Integrasi Ekonomi ASEAN, cadangan dan perkembangan kegiatan majlis.
Turut hadir di Majlis itu ialah Ketua-ketua Negara ASEAN dan Para Pemimpin Perniagaan ASEAN. Juga hadir ialah Menteri Kewangan II di Jabatan Perdana Menteri, Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman Haji Ibrahim dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II, Pehin Dato Seri Setia Lim Jock Seng.
Selepas majlis berkenaan, Baginda Sultan berkenan berangkat bersama pemimpin-pemimpin ASEAN, pembesar ASEAN dan Delegasi ASEAN menghadiri Majlis Pembukaan Rasmi Sidang Kemuncak ASEAN ke 17 yang diadakan di Pusat Persidangan Kebangsaan Hanoi yang dirasmikan Perdana Menteri Viet Nam selaku Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN ke 17, Tuan Nguyen Tan Dung.
-- hak milik Media Permata
Sunday, 31 October 2010
ASEAN Perlu Strategi Efektif
Posted by Neo Minda on 02:15
0 comments:
Post a Comment