Daripada Sim Y. H.
Hanoi (29/10/2010) - Negara Brunei Darussalam dan Republik Sosialis Vietnam akan terus berusaha mengeratkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang dengan tumpuan diberikan kepada bidang pertanian dan perikanan serta perdagangan.
Perkara itu ditekankan oleh Perdana Menteri Vietnam, Nyugen Tan Dung dalam perjumpaan dua hala di hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah di Bangunan Pejabat Kerajaan, Hanoi, Vietnam, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan di Vietnam hari ini, dalam perjumpaan berkenaan, Baginda Sultan berkenan menyatakan supaya Brunei dan Vietnam terus meningkatkan kerjasama yang membawa kepentingan bersama kepada kedua-dua buah negara dalam bidang perdagangan, pertanian, pelaburan, perikanan dan untuk bekerjasama dalam forum serantau serta antarabangsa.
Perdana Menteri Nyugen pula menyatakan penghargaan ke hadapan Majlis Baginda Sultan serta rakyat Brunei di atas ucapan takziah kepada mangsa-mangsa banjir Vietnam. Beliau mencadangkan bagi kedua-dua buah negara untuk memeterai perjanjian perlindungan pelaburan dan memorandum persefahaman bagi perikanan untuk mempromosikan perdagangan dan kerjasama dalam pertanian serta buruh.
Di perjumpaan dua hala itu juga, Perdana Menteri Nguyen menyatakan bahawa Vietnam bersedia untuk mengeksport beras ke Brunei.
Sementara itu, pada sebelah malamnya, Baginda Sultan berkenan menerima mengadap Presiden Filipina Benigno S. Aquino III. Majlis tersebut diadakan di Hotel Melia, Hanoi, Vietnam.
Baginda Sultan dan President Aquino telah bertukar-tukar pandangan mengenai hubungan dua hala dan kerjasama diantara Negara Brunei Darussalam dan Filipina.
Hadir sama di majlis berkenaan ialah Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim, Menteri Kewangan kedua di Jabatan Perdana Menteri dan Pehin Dato Seri Setia Lim Jock Seng, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Kedua serta beberapa orang pegawai kanan yang lain.
-- hak milik Media Permata
Sunday, 31 October 2010
Vietnam-Brunei Tumpu Kerjasama
Posted by Neo Minda on 02:15
0 comments:
Post a Comment