Daripada Hasrulraizan
Kuala Lumpur (29/10/2010) - Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Brunei Sheikh Jamaluddin Sheikh Mohamed mengambil peluang 'menjual' Brunei sebagai destinasi halal tanpa was-was pada Persidangan dan Travel Mart Pelancongan Islam Antarabangsa (ITCM) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini mulai hari ini.
Menurut Sheikh Jamaluddin, semasa membentangkan kertas kerjanya pada Sesi 7 ITCM esok, beliau akan menceritakan kepada para perwakilan yang terdiri daripada kalangan penggiat pelancongan dunia, mengenai keistimewaan Negara Brunei Daruusalam, yang memiliki koleksi artifak dan manuskrip Islam yang sangat bernilai untuk ditatapi selain bangunan-bangunan dengan nilai Islam yang sangat tinggi seperti masjid yang mampu memberikan keselesaan bagi mereka yang beribadah di dalamnya.
Beliau berkata, Brunei Darussalam adalah "Destinasi Halal" sebenar kerana hampir semua restorannya menyajikan hidangan halal, semua restoran makanan segeranya menyediakan menu halal, hotel tidak menghidangkan minuman keras, semua hotel menunjukkan arah kiblat, menyediakan sejadah di bilik hotel, surau di mana-mana, tiada bar, tiada kelab malam ataupun pameran awam aktiviti pelacuran.
Bukan itu saja, perubatan di Brunei Darussalam juga turut halal, iaitu yang bersumber dari Al-Quran, tambahnya ketika ditemui di luar dewan tempat Persidangan berkenaan dijalankan, Dewan Tun Hussein Onn pagi ini. Apabila bercakap mengenai Pelancongan Islam, Negara Brunei Darussalam adalah Negara yang tepat, ambil saja contoh di Borneo, tiada tempat lain yang memiliki bangunan-bangunan yang mempunyai nilai-nilai Islam untuk dilawati selain di Brunei Darussalam, ujarnya.
Namun, beliau menekankan tarikan utama yang boleh ditawarkan Brunei Darussalam dan bertepatan sekali dengan konsep Pelancongan Islam ialah artifak-artifak dan manuskrip Islam yang disimpan di Perpustakaan Jabatan Mufti Kerajaan, Darul Ifta dan beberapa koleksi peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Muzium Brunei.
Menurutnya dalam pembentangan kertas kerjanya esok, beliau akan memperlihatkan gambar-gambar indah di Brunei Darussalam, selain akan memberitahu para hadirin bahawa Brunei Darussalam adalah "Destinasi Halal" tanpa was-was.
Pakej Pelancongan Islam yang mereka sediakan itu disasarkan kepada pasaran Asia Tenggara supaya pelancong dari Asia Tenggara tidak perlu pergi melancong ke Negara-negara Timur Tengah seperti Bahrain,Iran dan Arab Saudi untuk menyaksikan manuskrip dan artifak Islam kerana Brunei Darussalam memilikinya dalam jumlah yang banyak, dengan hanya perlu mengunjungi bangunan Darul Ifta, katanya.
Pertama-tama, beliau ingin menunjukkan kepada para hadirin foto pusat ibu negara, Bandar Seri Begawan yang memperlihatkan kedudukannya yang dikelilingi oleh hutan hujan yang luas dan sungai yang besar.
Kedua, beliau akan memperlihatkan sekeping foto unik yang menunjukkan kedua-dua masjid terindah di Brunei Darussalam, Jame' 'Asr Hassanil Bokiah dan Masjid Omar Ali Saifuddien, dari satu sudut yang menampakkan kedua-dua masjid berkenaan, bagi bukan saja menunjukkan banyaknya masjid di Brunei Darussalam tetapi juga keselesaan beribadah di dalamnya.
Beliau juga akan menunjukkan foto-foto artifak dan manuskrip yang terdapat dalam simpanan Perpustakaan Jabatan Mufti Kerajaan dari kitab Al-Quran terkecil hingga yang terbesar serta manuskrip berusia melebihi seribu tahun yang kesemuanya adalah eksotik.
Menyentuh mengenai manfaat yang diperolehi Brunei Darussalam dari ITCM 2010 iaitu networking, beliau berkata melalui rangkaian di ITCM 2010 itu, mereka ingin mengetengahkan kepada setiap peserta ITCM mengenai Brunei Darussalam dan apa yang ditawarkannya kepada pelancong berpotensi dengan mempromosikan Pelancongan Islam di Brunei Darussalam bersama-sama dengan Malaysia.
Antaranya ialah pakej 3 hari 2 malam di Brunei Darussalam yang mengandungi lawatan-lawatan bagi melihat keindahan pemandangan, melihat Kampong Ayer secara lebih dekat, ekopelancongan dan menyaksikan pameran-pameran Islam dan melawat masjid-masjid indah, dedahnya.
-- hak milik Media Permata
Sunday, 31 October 2010
Brunei Destinasi Halal Yang Sebenar - Sheikh Jamaluddin
Posted by Neo Minda on 02:04
0 comments:
Post a Comment