Wednesday, 27 October 2010

Interaksi Raja Bersama Rakyat

Twitter Facebook More

Oleh : Hezlinawati Hj. Abd. Karim, Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi & Nooratini Hj. Abas

Mukim Pengkalan Batu (27 Oktober) - Beberapa penerima anak-anak kunci rumah jenis 'E' bagi Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Kampung Lumapas 'A' amat beruntung kerana rumah yang baru mereka miliki menerima lawatan dari raja yang dikasihi.


Lawatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dibuat selepas berangkat menyempurnakan penganugerahan anak-anak kunci rumah di bawah STKRJ Kampung Lumapas 'A' dan Kampung Mata-Mata (Katok 'B'), Gadong bagi Daerah Brunei dan Muara, diadakan di Dewan Sekolah Vokasional Wasan, Kampung Limau Manis, di sini.

Baginda berkenan berangkat singgah ke kediaman Dayang Mariani binti Mohamed, Awang Jabidi bin Haji Mail/Ismail serta ke rumah Awang Md. Zefrie bin Abidin.

Juga disingahi baginda ialah kediaman Pengiran Nor Kamarol Shah bin Pengiran Mohammed dan juga kediaman Awang Hassanuddin bin Haji Suhaily.

Semasa lawatan itu para penerima anak-anak kunci rumah berpeluang beramah mesra bersama baginda yang dicintai sambil menyembahkan terima kasih atas penganugerahan baginda yang tidak terhingga itu.

Terdahulu baginda berkenan berangkat melawat ke rumah Ketua Kampung Lumapas 'A', Awang Haji Mohd. Yassin bin Haji Hassan yang dilantik menjadi ketua kampung pada 13 Disember 2007.

Kawasan-kawasan yang termasuk di dalam Kampung Lumapas 'A' ialah Kampung Membarong, Kilugus, Pancor, STKRJ Lumapas A, Bukit Bunga, Buang Telurok dan Sengkirap dengan keluasan 13,0057 kilometer persegi.

Kampung Lumapas 'A' mempunyai 184 buah rumah dengan lebih 1,250 orang penduduk serta menerima pelbagai kemudahan awam seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, telefon, masjid selain memiliki sekolah rendah dan sekolah agama.

Di samping berkhidmat dengan kerajaan, para penduduknya juga bergiat aktif dalam pelbagai projek dan aktiviti perekonomian serta penghasilan produk kampung seperti tenunan kain songket, pembuatan songkok, perhiasan manik dan kristal.

Juga dilawati baginda ialah kediaman Ketua Kampung Beribi, Awang Haji Zaini bin Dato Paduka Haji Othman yang mula dilantik menjadi ketua kampung pada 5 Mac 2007.

Kampung Beribi mempunyai seramai lebih 8,400 penduduk dengan lebih 1,000 buah rumah di atas keluasan 636.97 hektar.

Setakat ini kampung berkenaan memiliki pelbagai kemudahan seperti sekolah agama, sekolah rendah, balai bomba, bekalan air dan elektrik.

-- hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment