Oleh Imelda Farrah Zohre HA
Bandar Seri Begawan (29/10/2010) - Mohd Ikhwan Najwan, 6, dan Siti Nuruliyana Najwan, 2, menerima sumbangan peralatan pembelajaran dan permainan dari Persatuan Kanak-Kanak Cacat (KACA), di sini, hari ini.
Hadir menyampaikan sumbangan kepada dua orang kanak-kanak cacat penglihatan itu ialah Presiden KACA, Dato Paduka Haji Zainal Haji Momin, yang berlangsung di Pusat KACA, Kiulap, di sini.
Pengarah Urusan KACA, Haji Awang Abd Alim Awang Othman dalam ucapan alu-aluannya berkata antara tujuan sumbangan itu ialah untuk membantu memperkembangkan pendidikan dan maklumat kanak-kanak terbabit melalui permainan asimilasi.
Beliau berkata peranan ibu bapa adalah penting untuk merancang permainan di rumah untuk keperluan kanak-kanak dengan permainan yang sesuai mengikut umur mereka dengan memperuntukkan masa supaya kanak-kanak boleh bermain bersama adik-beradik dengan diawasi.
Menurutnya ibu bapa boleh meningkatkan pembelajaran melalui permainan tersusun.
Pusat KACA berharap agar ibu bapa akan akrab dengan kanak-kanak dan sekali gus sebagai pendidik utama dan memainkan peranan kritikal dalam memperkayakan pertumbuhan mental dan emosi kanak-kanak. Ibu bapa juga mempunyai pengaruh yang besar ke atas pencapaian intelek anak-anak mereka.
Juga hadir di Majlis Penyampaian Alatan Pembelajaran dan Permainan kepada dua orang ahli KACA sempena Hari Penglihatan Sedunia 2010, hari ini ini ialah Ahli Jawatankuasa Pusat KACA, Awang Tengah Ahmad dan Haji Osman Haji Chuchu.
-- hak milik Media Permata
Sunday, 31 October 2010
KACA Memeduli Dua Kanak-Kanak Cacat Penglihatan
Posted by Neo Minda on 02:00
0 comments:
Post a Comment