Wednesday, 27 October 2010

Menjana Kemahiran Bidang Sains Dan Matematik

Twitter Facebook More

Oleh : Haniza Abdul Latif

Berakas (27 Oktober) - Untuk mencari jalan dalam menangani masalah pencapaian mata pelajaran Sains dan Matematik yang tidak memuaskan, pelbagai program telah dikendalikan kepada pelajar-pelajar yang berminat dalam bidang sains dan matematik.


Pengerusi Jawatankuasa Pemimpin Sekolah Rendah (JAPSER) Brunei IIA, Cikgu Haji Amir Abas bin Haji Zaini menjelaskan program yang dikendalikan adalah sebagai menyahut hasrat Kementerian Pendidikan dalam menangani masalah tersebut.

Semasa berucap sempena aktiviti 'Young Primary Scientist Invention' bagi Program Peningkatan Pencapaian Sains dan Matematik (PPPS + M) bagi Sekolah-sekolah Rendah Kawasan Brunei IIA tahun 2010, beliau menambah ianya merupakan satu aktiviti yang menggalakkan pelajar-pelajar muda untuk membuat reka cipta dari bahan-bahan terpakai.

Antara objektif program ini tambahnya adalah bagi meningkatkan motivasi dan menanamkan minat dan kesedaran pelajar terhadap mata pelajaran Sains, Matematik dan bidang yang berkaitan dengan ICT.

Selain itu, program juga diharap dapat meningkatkan jumlah pelajar yang mengikut aliran sains dan kreativiti pelajar dalam reka cipta.

Pada tahun ini Pusat STEP menyahut hasrat Kementerian Pendidikan bagi melibatkan lebih banyak sekolah-sekolah rendah dan menengah kerajaan di seluruh negara untuk mengendalikan aktiviti yang memfokus kepada subjek sains dan juga matematik (PPPS + M).

Antara matlamat program yang dijalankan adalah bagi meningkatkan pembelajaran sains dan matematik dan sebagai inisiatif awal pihak sekolah mengadakan aktiviti berdaya tahan setiap tahun.

Program yang melibatkan sepuluh buah sekolah rendah dari Kawasan Brunei IIA ini mengetengahkan 50 pelajar Tahun 4, 5 dan 6.

Hadir selaku tetamu kehormat menyampaikan hadiah di majlis tersebut ialah Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan (Rendah), Bahagian Pendidikan Rendah, Awang Haji Ramlee bin Abdul Rahman.

Di Majlis ini tiga buah sekolah yang terpilih dalam 'Top 3 Inventions' iaitu Sekolah Rendah Dato Basir, Sekolah Rendah Amar Pahlawan dan Sekolah Rendah Dato Othman mempersembahkan 'Powerpoint' masing-masing.

-- hak milik Pelita Brunei

0 comments:

Post a Comment