Oleh : Aryentty Hj. Ariffin
Tutong (27 Oktober) - Serombongan pegawai dan kakitangan Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Tutong telah mengadakan lawatan ke Kampung Supon Besar, Rumah Panjang Kebubuk dan Kampung Mapol.
Lawatan yang diketuai oleh Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong, Awang Haji Madzneh bin Haji Mohd. Noor bermula dengan mengunjungi Rumah Panjang Kebubuk dan beramah mesra bersama penduduk kampung tersebut dan diselajurkan dengan penyerahan cenderahati sebelum meneruskan lawatan ke Surau Kampung Mapol.
Kunjungan lawatan seumpama itu adalah salah satu usaha untuk meninjau perjalanan dan perkembangan agama Islam di daerah tersebut selain rancangan tahunan Pejabat Bahagian Da'wah Daerah Tutong yang melibatkan agensi-agensi kerajaan yang terdiri Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Tutong dan bahagian-bahagiannya, Jabatan Penerangan Cawangan Tutong dan Radio Televisyen Brunei.
Antara tujuan lawatan adalah untuk mengeratkan lagi hubungan dengan golongan bukan Islam, menyampaikan maklumat beragama dan penjelasan mengenai Islam kepada individu dan keluarga mereka khususnya di kawasan pedalaman, mengadakan lawatan bersepadu dengan agensi-agensi kerajaan dalam sama-sama memantau kehidupan saudara-saudara baru khususnya dan keluarga bukan Islam amnya dan memantau kebajikan saudara-saudara baru dari aspek kehidupan beragama dan kesejahteraan mereka.
Pejabat Bahagian Da'wah Daerah Tutong berharap lawatan seumpama itu akan dapat memperkukuhkan lagi hubungan dengan pihak yang terlibat dan dicadangkan supaya lawatan tersebut diadakan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan lagi kerjasama dengan agensi-agensi yang terlibat selain menambahkan pengetahuan khususnya golongan saudara-saudara baru mengenai Islam.
-- hak milik Pelita Brunei
Wednesday, 27 October 2010
Pejabat Hal Ehwal Ugama Tutong Kunjungi Kampung Pedalaman
Posted by Neo Minda on 15:28
0 comments:
Post a Comment