Oleh : Nooratini Hj. Abas
Mukim Pengkalan Batu (27 Oktober) - Para penerima anak kunci rumah di bawah Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Kampung Lumapas 'A' menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas pengurniaan rumah-rumah.
Beberapa orang penerima yang ditemui melahirkan rasa terharu dan bersyukur atas pengurniaan tersebut untuk tinggal dalam keadaan lebih selesa serta sempurna.
Itulah yang dapat diluahkan oleh Dayang Mariani binti Mohamamed, 46, yang menerima rumah STKRJ Kelas 'E'.
Ibu kepada enam orang anak itu yang sebelum ini tinggal di rumah ibunya di Kampung Sungai Kebun menyembahkan, "Saya menjunjung kasih ke hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas pemberian rumah untuk kami sekeluarga untuk berteduh," jelas Dayang Mariani.
Bagi Dayang Damit binti Haji Metusin, 54, juga merasa amat bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dan berterima kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas pengurniaan tersebut dan berdoa semoga Allah melanjutkan usia baginda.
Perasaan yang sama juga diungkapkan oleh Awang Mohd. Zefri bin Abidin, 46, bersama sekeluarga sangat berbesar hati atas kunjungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang berangkat bercemar duli ke rumahnya dan dapat menatap wajah baginda dengan secara lebih dekat.
Beliau yang bertugas sebagai buruh jaga malam di Jabatan Pengajian Islam berkata, "Keprihatinan baginda sebagai seorang raja jelas terbukti dengan adanya pengurniaan rumah demi kesejahteraan dan keselesaan rakyat di negara ini."
Sementara itu, bagi warga emas yang berusia 70 tahun pula menitiskan air mata kegembiraan apabila terpilih menjadi salah seorang penerima pengurniaan tersebut dan dapat meneruskan sisa-sisa hidup dengan lebih selesa.
"Hanya Allah Subhanahu Wata'ala sahaja yang dapat membalas budi baik dan keprihatinan yang diberikan kepada kami sekeluarga," kata Dayang Maisalamah binti Ibrahim.
Awang Hassanudin bin Haji Suhaily, 48, juga sangat teruja dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke rumahnya dan sempat merakamkan bergambar ramai bersama raja yang dikasihi itu.
"Kehidupan kami terjamin dengan adanya mempunyai rumah sendiri di samping dapat melakukan aktiviti atau riadah di luar rumah bersama keluarga," terangnya.
-- hak milik Pelita Brunei
Wednesday, 27 October 2010
Para Penerima Rumah STKRJ Menyembahkan Rasa Syukur Memiliki Rumah Kediaman
Posted by Neo Minda on 15:26
0 comments:
Post a Comment