Sunday, 31 October 2010

Staf Bank Baiduri Terima Diploma Bahasa Perancis

Twitter Facebook More

Bandar Seri Begawan (29/10/2010) - Kumpulan Bank Baiduri baru-baru ini mengadakan kursus Bahasa Perancis yang menjurus kepada penganugerahan Diplome d'Etude en Langue Française/Diploma Pengajian Bahasa Perancis untuk kakitangannya sebagai sebahagian inisiatifnya meningkatkan pengetahuan mereka dalam bahasa dan kebudayaan Perancis.


Majlis penyampaian sijil diadakan semalam di Pejabat Alliance Française de Brunei di Kiarong untuk tujuh kakitangan yang berjaya menamatkan kursus berkenaan.

Kursus itu, yang dikendalikan oleh Alliance Française, berlangsung bagi tempoh 25 jam di antara Mei dan Jun 2010, yang pada akhirnya setiap peserta diperlukan menduduki ujian untuk menilai kecekapan mereka.

Walaupun Kumpulan Bank Baiduri sudah mengadakan beberapa kursus bahasa Perancis untuk kakitangan kumpulan itu, ini adalah kali pertama Kumpulan Bank Baiduri menganjurkan Kursus DELF ini (diiktiraf secara global).

Majlis penyampaian sijil disempurnakan oleh tetamu kehormat, Louis Le Vert, Duta Besar Perancis ke Negara Brunei Darussalam yang dalam ucapannya antara lain menzahirkan rasa gembira melihat minat tinggi yang ditunjukkan para kakitangan Kumpulan Bank Baiduri dalam menguasai bahasa berkenaan.

Turut menghadiri majlis itu ialah Pierre Imhof, Pengurus Besar bank Baiduri; Raymond Bariou, Timbalan Pengurus Besar Kanan Bank Baiduri; Norlinda Dee, Pegawai Latihan Sumber Manusia Baiduri; Anais Moro, Pengarah Alliance Française Brunei; Florent Labbe dan Benoit Marie, para pengajar kursus dan pengurusan French Alliance.

-- hak milik Media Permata

0 comments:

Post a Comment