Jerudong (09 November 2010) - Kesimpulan yang dicapai mengenai beberapa perjanjian semasa Mesyuarat Pegawai-pegawai Pengangkutan Kanan ASEAN Ke-30 (STOM) menandakan komitmen ASEAN sebagai kumpulan serantau melalui kesediaan mereka untuk membuat pengorbanan dalam menjamin pertumbuhan ekonomi jangka panjang ASEAN.
Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan, Dato Paduka Awang Haji Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohd. Taha menyatakan demikian semasa berucap mempengerusikan Mesyuarat Pegawai-pegawai Pengangkutan Kanan ASEAN Ke-30, berlangsung di Empire Hotel and Country Club, di sini.
Dato Paduka yang juga ketua STOM bagi Negara Brunei Darussalam seterusnya berkata, kesimpulan yang dicapai itu bukan hanya akan meningkatkan integrasi dan daya tahan negara anggota ASEAN, tapi juga akan menjana aktiviti komersial lainnya, yang diharap akan membawa kualiti hidup ASEAN yang lebih baik secara menyeluruh.
STOM merupakan mesyuarat tahunan bagi para pegawai pengangkutan kanan ASEAN untuk bersidang, berbincang dan mempertimbangkan keputusan-keputusan susulan, dasar-dasar dan hala tuju, tindakan susulan, projek-projek dan inisiatif-inisiatif yang telah dipersetujui oleh ketua-ketua ASEAN yang diperlukan bagi perkembangan infrastruktur pengangkutan.
Selain dari itu mesyuarat seumpamanya juga akan meningkatkan hubungan dan rangkaian bagi mengukuhkan integrasi serantau dan persaingan pengangkutan dan rangkaian ASEAN dengan tujuan ke arah mencapai Masyarakat ASEAN 2015.
STOM kali ini akan mempersetujui draf terakhir bagi Pelan Pengangkutan Strategik ASEAN 2011-2015 yang juga dipanggil Pelan Tindakan Brunei (Brunei Action Plan BAP) 2011-2015 yang akan menjadi peta jalan strategik utama dan rujukan kepada kerjasama dan integrasi pengangkutan ASEAN dalam lima tahun akan datang untuk dihadapkan kepada Mesyuarat Menteri-menteri Pengangkutan ASEAN Ke-16 (16th ASEAN Transport Ministers-ATM).
Mesyuarat dihadiri oleh 200 delegasi dari negara-negara anggota ASEAN, rakan-rakan dialog ASEAN iaitu Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea serta para perwakilan dari sekretariat ASEAN.
Juga menghadiri mesyuarat ialah para pegawai kanan dari Kementerian Perhubungan dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan serta para perwakilan dari agensi swasta yang terlibat dalam sektor pengangkutan. -- hak milik Pelita Brunei
(Oleh : Hezlinawati Hj. Abd. Karim)
Tuesday, 16 November 2010
Perjanjian Dicapai Jamin Pertumbuhan Ekonomi ASEAN
Posted by Neo Minda on 20:31
0 comments:
Post a Comment